Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all 28722 articles
Browse latest View live

Wan Rosdi calon PAS PRK Pengkalan Kubor

$
0
0
MALAYSIAKINI


 


PAS mengumumkan Setiausaha Kawasan Tumpat Wan Rosdi Wan Ibrahim sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.
  
Pengumuman itu dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan, yang juga Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada satu majlis di Kampung Geting, Pengkalan Kubor malam tadi.
  
Ahmad berkata pemilihan Wan Rosdi, 56, adalah kerana beliau mempunyai pengalaman dalam pentadbiran dan aktiviti kemasyarakatan menerusi parti, selain menyifatkan beliau seorang yang berwibawa.
  
Sementara itu, Wan Rosdi, ketika ditemui selepas pengumuman itu, berkata beliau tidak menjangka dan terkejut kerana dipilih sebagai calon berikutan terdapat ramai lagi tokoh PAS di kawasan itu yang mampu menjadi calon.
  
Wan Rosdi, seorang kontraktor binaan, berkelulusan dari Institut Kemahiran MARA, turut memegang jawatan sebagai Penyelia DUN Pengkalan Kubor dan Anggota Lembaga Pengarah Koperasi Kelantan Bhd
      
Beliau akan berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail.
  
PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar dari BN pada 20 Ogos lepas.
  
Pada PRU ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
  
Untuk PRK ini, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pilihan raya kecil pada 25 September ini. - Bernama

Dr M sindir orang Melayu 'malas'

$
0
0
MALAYSIAKINI


 


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyindir orang Melayu, dengan memanggil mereka sebagai "malas" dan menyatakan beliau gagal mengubah mereka walaupun cuba berbuat demikian selama dua dekad.

Tokoh yang menerajui negara selama 22 tahun itu juga mengetengahkan budaya orang Jepun yang malu jika gagal.

“Kami lihat orang Jepun, mereka mudah rasa malu, bukan malu bertelanjang, tetapi malu terhadap kegagalan. Jika mereka gagal melaksanakan tugas, mereka akan bunuh diri (semasa era perang),” katanya.

Katanya, kini sudah tentu perkara itu tidak lagi dilakukan tetapi ia bagaimanapun mendorong mereka membina semula negara yang musnah teruk akibat peperangan.

Bercakap mengenai orang Melayu, Mahathir berkata kaum itu berbeza apabila tidak merasa malu walaupun gagal dalam peperiksaan.

“Mereka boleh jadi mat rempit. Dan mereka bangga dengannya,” katanya dalam pelancaran buku #WahaiMelayu tulisan ahli perniagaan Anas Zubedy di Kuala Lumpur hari ini.

PKR nafi laporan NST, 'risik' nama Azmin sebagai calon MB pada Istana Selangor

$
0
0
ANTARAPOS.COM

 
Post Pic



SHAH ALAM: PKR hari ini menafikan laporan akhbar berbahasa Ingeris yang mengatakan parti berkenaan telah menghantar nama Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, sebagai calon baru Menteri Besar Selangor, secara 'risikan'.

Setiausaha agungnya, Datuk Saifuddin Nasution berkata PKR tidak pernah berhubung secara tidak rasmi dengan Istana Selangor berhubung isu pencalonan menteri besar.
 
"Setiap komunikasi parti dengan istana dibuat secara rasmi dan terus oleh pimpinan PKR melalui surat. Begitu juga dengan perbincangan bersama parti-parti komponen Pakatan Rakyat, yakni melalui mesyuarat-mesyuarat rasmi," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.
 
New Straits Times hari ini menerbitkan sebuah artikel bertajuk ‘PKR now pushing for Azmin to become MB’ dengan hanya berpandukan maklumat daripada 'sumber'.
 
Laporan yang ditulis Syed Umar Ariff dan Hana Naz Harun mendakwa PKR menghantar "feelers" atau merisik pihak Istana secara tidak rasmi berkaitan isu Menteri Besar Selangor yang baharu.
 
Sumber itu turut memberitahu maklum balas yang diterima daripada Istana setakat ini adalah positif. 
 
Artikel itu turut membutirkan langkah menamakan Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa itu adalah sebagai pilihan yang terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang telah menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, sebelum ini. 
 
Akhbar itu juga memetik sumber sebagai berkata, pencalonan dan pelantikan Azmin sekurang-kurangnya dapat meredakan krisis antara parti dan istana Selangor.
 
PKR dan DAP sebelum berdegil untuk menghantar nama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Sultan Selangor.
 
Sementara PAS menuruti titah baginda dengan menghantar lebih daripada dua nama.
 
Natijahnya, sultan pada Isnin lalu menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap PKR dan DAP.
 
Bagaimanapun, DAP dan PKR bertindak memohon ampun kepada sultan namun mereka tidak menyatakan sama ada akan mengekalkan nama Azizah atau menambah lagi senarai nama calon menteri besar seperti yang diminta sultan.

Kertas Bahasa Inggeris UPSR bocor, calon perlu duduki semula

$
0
0
ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
PUTRAJAYA: Seramai 473,175 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu menduduki semula kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2 berikutan berlaku kebocoran soalan.
 
Perkara ini diumumkan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, sebentar tadi.
 
 
Idris juga mengumumkan Kementerian Pendidikan sudah membentuk satu jawatankuasa bebas bagi memastikan kebocoran soalan peperiksaan tidak lagi berlaku pada masa depan.
 
Semalam, Kementerian Pendidikan mengumumkan penangguhan kertas Sains 018, 028 dan 038 yang dijadualkan hari ini kerana didapati bocor.
 
Tarikh baru ujian kertas itu ialah pada 30 September ini.

Lima bekas tahanan ISA antara pejuang IS di Syria

$
0
0
ANTARAPOS.COM
 
Post Pic



PETALING JAYA: Lima bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah antara 40 rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam peperangan di Syria di mana pelbagai kumpulan itu bersaing untuk merebut kuasa.

Kelima-lima mereka merupakan bekas ahli Kumpulan Mujahideen Malaysia (KMM), Zainuri Kamaruddin dan Rafi Udin bersama-sama dengan bekas anggota Jemaah Islamiah (JI), Samad Shukri dan Zid Saharani Mohamad Esa.
 
Bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd Lotfi Ariffin, 45, antara yang turut disenaraikan.
 
Sumber berkata, Zainuri, Rafi dan Samad pergi ke Syria pada 18 April lalu bersama-sama dengan pejuang jihad Zainan Harith, juga dikenali sebagai Abu Turob, yang terbunuh baru-baru ini.
 
Terbaharu, rakyat Malaysia yang terbunuh dalam konflik itu adalah Mohammad Fadhlan Shahidi Mohammad Khir, 21, dari Kedah. Dia dibunuh semasa melarikan diri dari serangan tentera kerajaan Syria pada Selasa.
 
"Zainan terbunuh dalam serangan di Syria dan tiga yang lain cedera parah. Pihak berkuasa percaya semua bekas tahanan ISA ini masih di Syria berjuang untuk kumpulan militan," kata sumber berkenaan. 
 
Difahamkan kelima-lima mereka bersama-sama Zainan, amat dipengaruhi oleh ajaran pelampau.
 
"Boleh dikatakan bahawa perjuangan mereka di Syria adalah hampir sama antara satu sama lain. Mereka percaya bahawa boleh melakukan hampir semua cara untuk mencapai matlamat mereka dalam membela perjuangan mereka," kata sumber.
 
Di Malaysia, mereka mengadakan mesyuarat yang digelar sebagai "usrah" di lokasi secara rawak bagi mengelakkan ia daripada dikesan.
 
"Usrah ini termasuk merancang serangan dan rompakan bagi membiayai gerakan pelampau. Matlamat utama mereka adalah untuk mendapatkan senjata dan berjuang di Syria," kata sumber itu.
 
Pemantauan pihak berkuasa turut mengenal pasti pelbagai lokasi "usrah" di Lembah Klang. Antara lokasi tersebut adalah Puchong, Shah Alam dan Puncak Alam di Klang.

Khutbah 'menghasut', ustaz ditahan di PP

$
0
0
MALAYSIAKINI



Akta Hasutan 1948 terus digunakan, kini giliran ustaz PAS Abu Bakar Baikalani Abu Hassan pula ditahan polis.

Ketua Polis Daerah George Town Mior Faridalatrash Wahid berkata, guru agama itu ditahan ekoran terdapat laporan polis dibuat terhadapnya.

Ia, menurut polis, berkaitan khutbah Jumaat yang disampaikannya di Masjid Acheh Lama, Jalan Terengganu minggu lepas.

Abu Bakar, 44, disoal siasat di ibu pejabat polis daerah Timur Lait di Jalan Patani, Pulau Pinang sejam 10.30 pagi tadi.

Difahamkan, laporan polis itu dibuat berhubung kata-katanya berkaitan unit kontroversi Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang diiyhtiharkan pertubuhan tidak sah sebelum ini.

Mior memberitahu Malaysiakini, ustaz itu akan dibebaskan selepas kenyataannya selesai dirakamkan.

Beliau disiasat bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan, berkaitan mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan.

RM5,900 sebulan: Kita tahu ini mengarut

$
0
0
10562736_987021037981191_3178802091833741267_o


Oleh STEVEN SIM



Kata orang, ahli politik sering menipu. Tetapi selalunya mereka berikan kita statistik. Apa bezanya antara penipuan dan statistik? Kata Mark Twain, “Ada tiga jenis pembohongan; penipuan, penipuan berat dan statistik” (There are three kinds of lies; lies, damned lies and statistics).

Statistik terbaru yang dengan bangganya dipertontonkan oleh kerajaan kepada kita ialah laporan bahawa pendapatan isi rumah di Malaysia telah melepasi kadar RM5,900 sebulan. Ini dibentangkan oleh Datuk Seri Abdul Wahid Omar, bekas bos Maybank yang dibawa masuk ke dalam Kabinet sebagai ‘Menteri Ekonomi’. (http://www.bernama.com/bernama/v7/newsindex.php?id=1066627)

Tetapi dalam benak rakyat Malaysia mereka sedar bahawa ia mengarut belaka. Kenapa?
Kerana kebanyakan keluarga yang kita kenali, barangkali keluarga kita sendiri, memperolehi pendapatan yang jauh lebih rendah daripada RM5,900 sebulan.

Malah kerajaan sendiri pun dengan bangganya mendakwa bahawa program pemberian tunai BR1M telah memberi manfaat kepada 80% isi rumah Malaysia. Satu-satunya syarat pemberian BR1M ialah isi rumah yang menerimanya mestilah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Dan hanya pada September 2013 kerajaan menyatakan bahawa 82.5% warga muda Malaysia di bawah usia 30 tahun beroleh pendapatan RM3,000 sebulan. Bilangan ini adalah lebih daripada satu pertiga bilangan pekerja di Malaysia.

Dan menurut bancian Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2012 (HIS/BA 2012), kelompok 40% terbawah dari kalangan isi rumah Malaysia memperolehi sekitar RM1,800 sebulan.

Tambahan pula, sementara laporan HIS/BA 2012 maklum bahawa purata pendapatan isi rumah Malaysia adalah RM5,000 sebulan, 50% daripada isi rumah Malaysia sebenarnya memperoleh kurang daripada RM3,626 setiap bulan.

Bagaimana ini boleh terjadi?

Statistik: seni menipu secara rasmi

(Kaveat: Saya menyukai statistik kerana jika digunakan secara bertanggungjawab, ia memberikan maklumat yang berguna tentang realiti.)

‘Menteri Ekonomi’ tersebut menggunakan data HIS/BA 2014 terbaru yang belum lagi disiarkan oleh Jabatan Statistik di laman webnya. Oleh itu saya akan menggunakan data HIS/BA 2012 untuk menunjukkan bagaimana beliau dengan bijak sekali menggunakan statistik untuk memberi gambaran yang indah-indah belaka tentang pendapatan kita.

Abdul Wahid menggunakan nilai purata pendapatan isi rumah untuk menunjukkan bahawa kita sudah pun membawa pulang RM5,900 sebulan. Dalam HIS/BA 2012 seperti yang disebut tadi, pendapatan purata isi rumah adalah pada nilai RM5,000 sebulan. Ini dinilaikan dengan mengira purata jumlah pendapatan kesemua isi rumah dengan jumlah bilangan isi rumah.

Seperti yang kita semua tahu, penilaian purata berfungsi dengan baik sekiranya set data yang ada adalah simetri, yakni jika semua orang mempunyai nilai pendapat yang lebih kurang sama dalam kes ini. Sebaliknya, satu atau dua nilai yang lebih besar di dalam set data tersebut akan menyimpangkan nilai purata secara signifikan daripada nilai-nilai lain.

Jika Bill Gates masuk ke sebuah warung yang dipenuhi golongan pekerja, kemudian seorang menteri seperti Abdul Wahid datang melakukan bancian pendapatan di kalangan pelanggan warung, nescaya semua orang akan menjadi jutawan jika nilai purata pendapatan mereka dipersembahkan.

Sebaliknya, HIS/BA 2012 turut melaporkan bahawa nilai median pendapatan isi rumah di Malaysia hanyalah sebanyak RM3,626. Nilai media memberikan gambaran yang lebih baik untuk sebuah set data yang tidak simetrikal, iaitu set dengan nilai-nilai yang jauh berbeza antara satu dengan yang lain.

Ia membahagikan set data tersebut secara sama rata kepada dua bahagian di atas dan bawah nilai median. Justeru menurut HIS/BA 2012, 50% daripada isi rumah Malaysia sebenarnya berpendapatan kurang daripada RM3,626 sebulan walaupun nilai pendapatan purata ialah RM5,000 sebulan.

Kedua-duanya nilai hasilan statistik yang sah, apa masalahnya?

Kalau anda tanyakan kepada saya, masalah dengan sikap tidak jujur seperti ini bukan sangat mengenai pembohongan kerajaan kepada kita, tetapi sikap kerajaan menipu dirinya sendiri. Dengan memuji apa yang dirasakannya pencapain cemerlangnya sendiri, kerajaan telah mencipta rasa cemerlang yang palsu, justeru menanggung risiko untuk tidak mengendahkan situasi sebenar serta usaha-usaha yang masih perlu dilaksanakan.

Sewaktu sidang parlimen pertama saya pada 2013, ‘Menteri Ekonomi’ yang sama dengan bangganya memberitahu Dewan bahawa disebabkan kadar penganggura negara berada di bawah 4%, menurut pakar ekonomi John Maynard Keynes, kita boleh dianggap telah berjaya memenuhi tuntutan tenaga kerja. Sejak dari itu, saya sering menyatakan bahawa sudut pandang memuji diri sendiri terus membutakan kerajaan terhadap keadaan sebenar sektor pekerjaan di negara ini yang pelbagai, daripada kadar pengangguran tinggi di kalangan anak muda Malaysia termasuk para graduan sehinggalah isu guna tenaga tidak penuh, kelaziman industri yang tidak adil serta diskriminasi gender dalam pasaran kerja, serta kebergantungan tinggi kepada buruh asing berkemahiran rendah dan penghijrahan keluar tenaga mahir.

Apabila seseorang dengan kedudukan ‘Menteri Ekonomi’ mengatakan bahawa kita sudah mencapai tahap pendapatan RM5,900 sebulan, kerajaan berisiko terlepas pandang masalah-masalah sebenar seperti isu gaji rendah, peningkatan kos sara hidup, keberhutangan tinggi di kalangan rakyat Malaysia serta kesenjangan nilai pendapatan.

Walaupun demikian banyak laporan menunjukkan wujud pertumbuhan ekonomi, kita telah gagal dalam jangkamasa 20 tahun untuk mencapai sebarang peningkatan untuk merapatkan jurang pendapatan. Menurut Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni, indeks Pekali Gini Malaysia yang mengukur jurang pendapatan (0 bermaksud saksama manakala 1 tidak saksama) berada pada kadar 0.431 pada tahun 2012, antara yang paling tinggi di rantau ini, berbanding negara seperti Thailand 0.4 dan Indonesia 0.37.
(http://www.thestar.com.my/business/business-news/2013/08/03/malaysias-income-distribution-inequality-still-high/)

Oleh yang demikian, masalah tentang menipu ini bukanlah mengenai sama ada orang lain akan percaya, tetapi adakah si penipu akan mempercayai pembohongannya sendiri.

Steven Sim adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Jangan tuduh Melayu malas dan tidak jujur

$
0
0
 
Pengerusi Majlis Gagasan Malaysia gesa Tun Mahathir menarik semula kenyataan mengenai orang Melayu kerana menganggap ia tidak adil untuk orang Melayu keseluruhannya.


MANIVANNAN_GAGASANPETALING JAYA: Pengerusi Majlis Gagasan Malaysia, Manivannan Rethinam membidas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan “Melayu malas” dan “Melayu tidak berfikir dua kali untuk mengambil wang yang bukan milik mereka”..

Menurutnya, kenyataan daripada Dr Mahathir itu tidak benar kerana ia seperti menuduh semua orang Melayu malas dan tidak amanah sedangkan hanya segelintir yang begitu.

“Secara peribadi, saya mempunyai ramai kenalan dan rakan dari kalangan orang Melayu yang jujur dan mempunyai nilai etika yang boleh dipandang tinggi.

“Kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengatakan kegagalannya untuk mengubah orang Melayu daripada bersikap malas dan tidak amanah setelah 22 tahun memerintah adalah salahnya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.

Tegasnya, beliau mengesa supaya Dr Mahathir tidak membuat kenyataan melulu yang seolah-olah ditujukan kepada semua orang yang berbangsa Melayu.

“Jangan menuduh orang Melayu pemalas dan tidak jujur. Kenyataan mantan perdana menteri ini tidak sesuai buat masa ini kerana boleh melemahkan bangsa Melayu,” ujarnya.

Semalam dalam ucapannya di majlis pelancaran Buku #WahaiMelayu karangan Anas Zubedy, Dr Mahathir menyatakan pandangannya yang menyentuh tentang orang Melayu pada masa ini kurang amanah.

Menurut Dr Mahathir, setelah 22 tahun, beliau masih gagal untuk mengubah persepsi yang mengatakan orang Melayu malas dan kurang amanah.

Di dalam ucapannya juga, beliau mengatakan yang orang Melayu tidak malu jika gagal dalam peperiksaan mahupun gagal dalam kehidupan.

Ustaz Mat Razi calon BN yang paling “song”

$
0
0

 
Najib yakin bahawa Ustaz Mat Razi merupakan calon BN yang paling "song" (sesuai) untuk PRK Pengkalan Kubor


TPM_Mat-Razi


PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan sokongannya dan yakin terhadap calon Barisan Nasional (BN), Ustaz Mat Razi untuk mempertahankan kerusi dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Najib menulis di dalam laman Facebooknya berkata Mat Razi adalah calon yang tepat untuk mempertahankan kerusi BN di Pengkalan Kubor.

“Saya yakin bahawa Ustaz Mat Razi merupakan calon BN yang paling “song” (sesuai) untuk PRK Pengkalan Kubor. Moga dapat mempertahankan kerusi BN,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tumpat, Mat Razi Mat Ail, 49, diumumkan sebagai calon yang akan mewakili BN dalam PRK DUN Pengkalan Kubor pada 25 September ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan Mat Razi dalam satu Majlis di Pusat Operasi Pilihan Raya Kecil N.01 Pengkalan Kubor, Tumpat sebentar tadi.

Mat Razi berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat merupakan anak tempatan dan lebih dikenali sebagai Cikgu Mat Razi.

Beliau juga mengasaskan sekolah pondok di tanah wakaf sendiri Kampung Simpangan dan aktif dalam pelbagai aktiviti keagamaan membuatkan penduduk setempat memanggilnya Ustaz Mat Razi.

Mat Razi pernah muncul sebagai johan taranum al-Quran ketika menuntut di maktab perguruan dahulu dan turut menjadi imam di Masjid Simpangan.

Jangan kerana politik Umno, pelajar jadi mangsa

$
0
0

MUHAMMAD FAIZAL 


KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan permainan politik di dalam Umno berhubung sabotaj membocorkan solan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga pelajar menjadi magsa.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar memberitahu kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menolak ada unsur sabotaj terhadap beliau membuktikan adalah sesuatu yang serius.

"Kita bersimpati dengan Muhyiddin dengan permainan yang berlaku di dalam Umno, cuba menjatuhkan beliau melalui sabotaj soalan peperiksaan.

"Namun kita kesal krisis politik dalaman Umno ini menyebabkan pelajar menjadi mangsa," katanya kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga turut merasakan kebocoran soalan peperiksaan ini mempunyai kaitan dengan kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak.

"Saya percaya ia ada kaitan, kita melihat bagaimana Mahathir kritik Najib dan selepas itu beliau menarik balik kritikan.

"Tetapi Mahathir sekali lagi kritik Najib berhubung dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menyebabkan mereka yang menyokong Najib mula sabotaj Muhyiddin dengan membocorkan soalan peperiksaan.

"Ia diperkatakan sendiri oleh Muhyiddin yang menyatakan tidak ada keperluan untuk membocorkan soalan tersebut selain mensabotaj dirinya dan juga kementerian," sambung beliau lagi.

Tambah beliau, jika dakwaan Muhyiddin dibuktikan benar berlaku ia menunjukkan krisis di dalam Umno antara Muhyiddin dan Najib berada pada tahap kritikal.- HARAKAHDAILY

Peluang Wan Rosdi menang sangat cerah

$
0
0

MUHAMMAD FAIZAL



 


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar menyifatkan pencalonan Setiausaha PAS Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan kubor adalah pilihan yang tepat.

Beliau (gambar) berkata, pengalaman selama 20 tahun di dalam PAS dan bergelumang dengan penduduk setempat, calon PAS itu tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN).

"Beliau merupakan seorang pekerja parti di peringkat kawasan dan Dun, hampir 20 tahun beliau berkhidmat untuk rakyat setempat.

"Dengan sikap dan sifat yang beliau miliki selain dikenali penduduk setempat, saya yakin kita tidak tidak mempunyai masalah untuk mengambil balik kerusi Dun Pengkalan Kubor dari BN," katanya kepada Harakahdaily.

Kamarudin yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu turut berpendapat pengalaman yang dimiliki calon PAS lebih jauh mengatasi calon BN.

"Beliau telah lama berdamping dengan penduduk setempat. Memadai jika kita tanya nama beliau, orang kampung akan mengenali dia.

"Saya yakin peluang untuk PAS dan Pakatan Rakyat menang pada PRK kali ini amat besar," sambung beliau.

Tambah beliau lagi, pergolakan dalaman Umno Pengkalan Kubor yang tidak berpuas hati dengan pencalonan calon BN turut membantu PAS dalam usaha mengambil semula kerusi tersebut. - HARAKAHDAILY

Polis siasat Edmund Bon kes hasutan

$
0
0
MALAYSIAKINI


 


Peguam, Edmund Bon berkata polis menghubunginya hari ini untuk tampil memberi kenyataan berhubung siasatan berkaitan hasutan.

"Saya akan bekerjasama dengan polis dan akan menemui mereka apabila saya pulang untuk memberi kenyataan,” katanya di Twitter.

Bon, yang kini berada di luar negara, akan kembali ke Malaysia pada 16 September.

Katanya, beliau disiasat berhubung komennya dalam satu laporan berita portal The Malaysian Insider.

Laporan pada 20 Januari itu berhubung isu sama ada golongan bukan Islam patut akur kepada fatwa atau titah sultan.

Peguam, New Sin Yew berkata laporan ke atas Bon dibuat di Pulau Pinang.

Polis KL tubuh pasukan khas siasat soalan bocor

$
0
0
MALAYSIAKINI


Polis Kuala Lumpur menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kes kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata pasukan petugas itu menjalankan siasatan sebaik menerima laporan polis Rabu lepas.
  
"Tiga laporan polis diterima (mengenai UPSR) iaitu dua di Putrajaya dan satu di Johor.
  
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi yang memperuntuk hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda," katanya kepada Bernama hari ini.
  
Gan berkata setakat ini, tiga percakapan individu dirakamkan tetapi tiada tangkapan dibuat.

Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya terletak di bawah bidang kuasa Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
  
Gan berkata polis sedang mengumpul keterangan dan bekerjasama dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta agensi lain terbabit.
  
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu boleh salurkan ke balai polis berdekatan," katanya.
  
Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan sementara kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan.
 
LPM menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.- Bernama

Tentera AS jalani latihan di T'ganu, K'tan

$
0
0
MALAYSIAKINI


 



Kehadiran sekumpulan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) di Terengganu dan Kelantan adalah untuk menjalani latihan Eksesais Keris Strike Siri 18/2014 bersama dengan Tentera Darat Malaysia.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini berkata anggota tentera AS itu adalah dari pasukan United States Army Pacific Command (USARPAC) yang berpangkalan di Hawaii.

"Tujuan utama eksesais bilateral ini dijalankan adalah untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan pengalaman kepada peserta khususnya dalam pengurusan bencana alam dan pelaksanaan Operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)," kata kenyataan itu.

Seramai 540 anggota USARPAC dan 638 anggota Tentera Darat akan menyertai Eksesais Keris Strike kali ini yang bermula esok hingga 26 Sept.

Menurut kenyataan itu, Eksesais Keris Strike merupakan siri latihan gabungan yang diadakan setiap tahun melibatkan Formasi 8 Briged di bawah naungan Markas 2 Divisyen.

Eksesais Keris Strike dijalankan sekitar kawasan Kem Pangkalan Chepa dan Kem Desa Pahlawan, Kelantan.

"Pada tahun ini ia dilaksanakan berorentasikan pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan dalam senario bencana banjir," kata kenyataan itu.

Tentera Darat berharap penjelasan ini dapat memberi gambaran sebenar berkaitan salah tafsiran mengenai kehadiran tentera AS seperti mana yang telah tersebar di kebanyakan media sosial tempatan.- Bernama

MB: PAS perlu dapatkan sokongan rakan, elak Pakatan dibubar - Mahfodz

$
0
0
Oleh Nurshakira Buang
  Post Pic

SHAH ALAM: PAS dinasihatkan berunding dengan rakan komponen Pakatan Rakyat (Pakatan) bagi mendapatkan sokongan majoriti ADUN Selangor sekiranya sultan memberi perkenan untuk melantik menteri besar yang baharu dari kalangan pemimpin parti Islam itu.

Naib Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, saranan itu dibuat bagi mengelakkan masalah yang lebih buruk sekali gus boleh menyebabkan pakatan pembangkang dibubarkan.

"Oleh kerana kita masih dalam Pakatan, saya nasihatkan PAS supaya berunding dengan rakan-rakan komponen Pakatan minta sokongan daripada mereka. Takut nanti (keadaan) lebih membahayakan lagi dan pakatan itu dibubarkan," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Jika pakatan pembangkang itu dibubarkan tiada siapa yang akan untung, tambahnya.

"Kalau dibubarkan nanti tidak ada siapa yang untung, baik PAS, PKR atau DAP akan lebih rugi. Maka sebab itulah jika ditakdirkan tuanku menamakan ADUN PAS maka PAS kena berunding dengan rakan-rakan Pakatan untuk minta persetujuan dan sokongan," katanya.

Mengulas lanjut tindakan PAS menghantar tiga nama kepada sultan berhubung calon Menteri Besar Selangor, Mahfodz berkata, PAS ada peraturan sendiri serta enggan membuat baginda murka.

"Seperti yang telah disebutkan oleh Mursyidul Am PAS, Nik Aziz bahawa PAS ada peraturan sendiri, PKR ada peraturan sendiri dan begitu juga DAP ada peraturan sendiri. Lagipun kita belum ada satu parti sebab itu ahli PAS kena mengutamakan parti dahulu," ujarnya.

"Bagi kita (PAS) oleh kerana adat Melayu di Malaysia ini raja berperlembagaan dam mempunyai kuasa tertentu...memanglah betul kuasa terbesar terletak di tangan Allah SWT tetapi selain daripada itu oleh kerana tuanku minta lebih maka presiden hantar lebih dua nama.

"Kita satu-satunya parti didalam Pakatan yang mematuhi titah tuanku," tambahnya.

Terdahulu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar PAS, PKR dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama daripada parti masing-masing sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu, bagi memudahkan baginda menentukan calon yang berkelayakan untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Baginda bertitah demikian sebaik sahaja Khalid menghadapnya bagi menyatakan hasrat meletakkan jawatan sementelah beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

Bagaimanpun, sultan menangguhkan peletakan jawatan Khalid sehingga calon menteri besar baharu ditentukan.

Taklimat Penstrukturan Semula Industri Air Isnin Ini - Abdul Khalid

$
0
0

MSTAR ONLINE


Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Abdul Khalid menyaksikan pertukaran perjanjian antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Siregar Abdullah dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Muhammad Khusrin Munawi (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Ahmad Faisal Abdul Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Suhaimi Kamaralzaman pada majlis menandatangani Perjanjian Utama pada Jumaat.
 
 
 
KLANG: Kerajaan negeri Selangor akan mengadakan taklimat terperinci dengan semua pihak terlibat berhubung penstrukturan semula industri air di negeri itu, Isnin ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata taklimat itu adalah untuk menjelaskan segala terma dan syarat yang dipersetujui dalam perjanjian utama yang ditandatangani dengan kerajaan Persekutuan pada Jumaat.

"Dalam pada itu, kita akan berikan cadangan dan langkah supaya pengambilalihan ini dapat dibuat dengan betul supaya rakyat Selangor dapat bekalan air yang diurus dengan baik dengan harga berpatutan," katanya kepada pemberita, Jumaat malam. 

Ketika diminta mengulas mengenai jaminan kerajaan negeri untuk memastikan tiada lagi catuan air pada masa hadapan, Abdul Khalid berkata perjanjian itu memberi lebih peluang kepada pihaknya menguruskan industri air secara menyeluruh. 

Pada Jumaat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor memeterai perjanjian utama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Berikutan termeterainya perjanjian utama itu, Air Selangor Sdn Bhd, entiti yang sebelum ini dikenali sebagai Pengurusan Air Selangor, akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air serta perkhidmatan pembekalan air yang sebelum ini dilakukan empat syarikat konsesi.

Tragedi MH17 Dedah Persoalan Standard Keselamatan Laluan Penerbangan

$
0
0
MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tragedi penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 telah mendedahkan satu kebenaran yang meresahkan iaitu tidak ada standard yang jelas untuk menentukan keselamatan sesuatu laluan penerbangan.

Perdana Menteri berkata Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengeluarkan nasihat mengenai kawasan-kawasan yang perlu dielak tetapi tidak mengisytihar laluan penerbangan yang tidak selamat.

Beliau berkata syarikat penerbangan mengguna pakai pendekatan jauh berbeza untuk zon konflik tetapi penumpang dibiarkan tertanya-tanya pihak mana yang memastikan keselamatan di ruang udara.

Dalam artikel yang diterbitkan dalam Financial Times, beliau berkata dalam beberapa minggu selepas nahas MH17, ia menjadi jelas bahawa syarikat-syarikat penerbangan mempunyai pendekatan jauh berbeza di kawasan zon konflik.

Menjelaskan pandangannya, Najib berkata: "Syarikat Lufthansa dari Jerman melintasi ruang udara Ukraine tetapi mengelak bahagian utara Iraq dan Israel.

"Qantas dari Australia melintasi ruang udara Iraq tetapi elak Ukraine dan Israel. British Airways pula melintasi ruang udara Israel tetapi mengelak Ukraine dan Iraq."

Beliau berkata perbezaan laluan yang digunakan pesawat berlaku kerana syarikat penerbangan tidak berkongsi penilaian risiko dan ini perlu diubah.

Dalam artikel bertajuk: 'Our skies will not be safe until nations share their knowledge' (Ruang udara tidak akan selamat sehingga negara-negara berkongsi pengetahuan masing-masing), perdana menteri berkata selepas nahas MH17, komuniti antarabangsa perlu meletakkan keselamatan bersama di atas kepentingan negara.

Mereka harus komited untuk berkongsi maklumat risiko penerbangan dalam kalangan syarikat penerbangan, badan penerbangan dan negara.

"Dengan berbuat demikian, kita boleh menghormati mangsa yang terkorban dengan membuatkan ruang udara kita lebih selamat untuk semua," katanya.

Najib menegaskan tanggungjawab terhadap kehilangan nyawa itu terletak pada mereka yang menjatuhkan pesawat tersebut serta berikrar akan menggunakan semua ruang dan peluang untuk mengheret mereka ke muka pengadilan.

Penerbangan MH17 terhempas di tumur Ukraine pada 17 Julai lepas apabila dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Selain 43 penumpang dan anak kapal warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom,Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Pas Kelantan nafi Hadi tidak setuju calon

$
0
0
SINAR HARIAN


Datuk Ahmad Yakob Datuk Ahmad Yakob
 
 
 
TUMPAT - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hari ini menafikan perselisihan faham antara kepimpinan Pas negeri dengan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pemilihan calon parti itu bagi PRK Dun Pengkalan Kubor.
  
Beliau berkata, pemilihan Wan Rosdi Wan Ibrahim telah dipersetujui pucuk pimpinan parti.
  
Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, calon itu diumumkan olehnya beliau tanpa kehadiran Abdul Hadi kerana pemimpin itu berada di luar negara.
  
"Sepatutnya presiden (Pas) yang umumkan calon itu tetapi disebabkan kelewatan penerbangan, beliau tidak sempat untuk hadir," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin bersama Masyarakat Siam di Wat Machimaran di sini, hari ini.
   
PRK Dun Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar dari BN pada 20 Ogos lepas.
  
Pada PRU13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
  
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada esok manakala 25 September sebagai hari mengundi. - Bernama

Measat-3b bukan satelit pengintipan

$
0
0
SINAR HARIAN


Ahmad Shabery CheekAhmad Shabery Cheek
 
 
KEMAMAN - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata satelit terbaru Malaysia Measat-3b yang berjaya dilancarkan ke orbit awal pagi ini merupakan sebuah satelit penyiaran dan bukannya satelit pengintipan.
  
Beliau berkata pelancaran satelit itu adalah untuk mengukuhkan lagi industri penyiaran bukan sahaja di negara ini malah juga beberapa negara di rantau Asia termasuk Australia.
  
"Tahniah kepada Measat, ia satelit ke-6 negara di orbit, merupakan satelit komunikasi untuk tujuan penyiaran, jangan salah faham ini bukan 'spy' satelit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Katanya satelit komunikasi bernilai US$350 juta (RM1.12 bilion) itu akan beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat apabila ia sudah berada pada kedudukan yang betul di orbit.
  
Menurutnya Malaysia dijangka mendapat banyak manfaat hasil daripada pelancaran satelit tersebut khasnya dalam industri penyiaran dan komunikasi.

Measat-3b berjaya dilancarkan dari Pusat Angkasa Lepas Eropah di Kourou, French Guiana pada 7.05 Khamis malam waktu tempatan (6.05 pagi Jumaat waktu Malaysia).
  
Measat-3b akan beroperasi sepenuhnya pada 15 Oktober, adalah satelit Measat ketiga yang dilancarkan penyedia perkhidmatan pelancaran satelit, Arianspace berikutan pelancaran Measat-1 dan Measat-2 pada 1996.
  
Dibangunkan oleh pembuat satelit Airbus Defence and Space di Toulouse, Perancis, Measat-3b mempunyai jangka hayat kira-kira 15 tahun.
  
Satelit ini mempunyai 48 transponder, dengan setiap satu lebar jalurnya berkapasiti 36 megahertz (Mhz) sekali gus menjadikan keupayaan satelit Ku-band kepada 84 transponder daripada 36 sekarang.
  
Ia akan melebarkan usaha Measat dalam perkhidmatan satelit penyiaran dan telekomunikasi di Malaysia, Indonesia, Australia dan Asia Selatan. - Bernama

'Keputusan gantung Pengarah LP tepat'

$
0
0
UPSR BocorUPSR Bocor 



SHAH ALAM – Tindakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggantung tugas Pengarah Lembaga Peperiksaan (LPM), Dr Na’imah Ishak disifatkan tepat dalam menangani insiden kebocoran soalan Ujian PencapaianSekolah Rendah (UPSR) 2014.

Ketua Biro Pendidikan, Gabungan NGO Islam Dan Melayu Malaysia (GNI), Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, tindakan itu melibatkan kredibiliti Muhyiddin sebagai menteri.

“Saya menyifatkan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan menggantung Pengarah LPM adalah bertepatan dengan kes yang berlaku.

“Ini melibatkan maruah dan kredibiliti beliau selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam memegang portfolio Menteri Pendidikan. Syabas dan tahniah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap agar tiada sebarang spekulasi timbul sebelum hasil laporan siasatan dibentangkan.

“Saya berharap tidak ada sebarang spekulasi yang dibuat sebelum keputusan laporan siasatan dibentangkan.

“Saya juga berharap agar individu yang terlibat dikenakan tindakan yang paling tegas agar perkara ini tidak berulang lagi walaupun hakikatnya, kebocoran soalan UPSR/PMR/SPM telah lama berlaku cuma tidak pernah didedahkan,” katanya.

Hari ini, Muhyiddin mengumumkan Dr Na'imah digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan UPSR  selesai.

Turut digantung tugas Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Misrah Ibrahim akan menjalankan tugas dan tanggungjawab pengarah Lembaga Peperiksaan dalam tempoh itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan penggantungan tugas dibuat kerana mereka perlu bertanggungjawab dalam perkara ini, dan menurutnya kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atas kebocoran soalan itu.

Susulan itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan sementara kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan.

Peperiksaan bagi kedua-dua kertas itu akan diadakan pada tarikh baharu 30 September.
Viewing all 28722 articles
Browse latest View live