Hospital Shah Alam siap SeptemberSubramaniam (depan) melawat sekitar bangunan Hospital Shah Alam.


SHAH ALAM - Penduduk Shah Alam bakal menikmati kemudahan hospital yang selesa apabila Hospital Shah Alam dijangka siap dan boleh beroperasi selewat-lewatnya tahun ini.

Pengarah Projek Hospital Shah Alam, Datuk Ir Adanan Mohamed Hussain berkata, hospital ini akan disiapkan pada September 2014 setelah pembinaannya tertangguh.

Menurutnya, hospital tersebut sepatutnya disiapkan pada tahun lalu, tetapi telah diberi lanjutan masa kepada kontraktor sehingga September 2014.

"Setakat ini, perkembangan projek telah mencapai 80 peratus iaitu tiga hari awal dari jadual projek di mana sebanyak RM219 juta perbelanjaan telah diguna dari kos keseluruhan iaitu RM410 juta," katanya sewaktu menyampaikan taklimat berhubung perkembangan projek ketika lawatan tapak projek hospital oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam dan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof di Seksyen 7, Shah Alam.

Adanan berkata, projek ini bermula pada 2007 dan sepatutnya siap pada Jun 2011, tetapi malangnya tidak dapat disiapkan dan terbengkalai dalam tempoh yang lama.

Jelasnya, pihaknya telah menamatkan khidmat kontraktor pada September 2010 dan kemajuan yang telah dijalankan ketika itu adalah 27 peratus sahaja.

"Pada November tahun yang sama, tender dikeluarkan semula untuk menyiapkan projek terbengkalai dan telah mendapat kelulusan pada September 2011 dan projek berjalan semula pada Oktober 2011," katanya.

Menurut Adanan lagi, kos pembinaan hospital ini juga lebih mahal berbanding hospital lain kerana ia berkapasiti 300 katil, tetapi perkhidmatan yang disediakan adalah 500 katil.

Katanya lagi, hospital turut menyediakan kediaman kuarters dan hostel sebanyak 312 unit, 1,200 lot parkir kereta, 500 lot parkir motosikal selain beberapa perkhidmatan lain.