PKR hari ini mendesak supaya duti eksais dimansuhkan serta-merta dan membidas Putrajaya kerana menipu dalam isu menurunkan harga keretaselepas pengumuman Dasar Automotif Nasional (DAN) 2014 semalam.
Pemipin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, harga kereta hanya akan turun apabila duti yang terlalu tinggi itu dimansuhkan serta-merta.
"PKR berkali-kali mendesak supaya sistem cukai eksais sedia ada dihapuskan untuk mengurangkan harga kereta. Apabila pengguna tidak lagi menanggung cukai, harga kereta boleh dibandingkan secara telus dan kompetitif," kata mereka dalam satu kenyataan bersama, hari ini.
Mereka berkata, tindakan memberi rebat dan potongan cukai eksais bagi model dipasang di Malaysia (CKD) tidak akan menurunkan harga kereta.
"Tindakan ini cuba menipu rakyat kerana perbezaan harga model lama atau sedia ada yang diperkenalkan bukanlah satu bentuk penurunan harga kereta yang kekal merentasi industri (non-permanent across the board price reduction).
"Malah, ada beberapa model yang diperkenalkan dengan diskaun merupakan model lama yang kos pembangunannya sudah diperolehi oleh syarikat kereta, lalu membolehkan model itu dijual pada harga lebih rendah," katanya.
PKR berkata, pengumuman DAN semalam hanya sekadar gimik untuk meredakan kemarahan rakyat.
"Tanpa potongan cukai eksais yang melibatkan keseluruhan industri automotif, langkah terpencil yang hanya melibatkan beberapa jenis kenderaan sahaja adalah tidak lebih daripada gimik untuk meredakan kemarahan rakyat." kata kenyataan itu.
PKR mendakwa keengganan menghapuskan duti eksais kerana faktor kewangan tidak mengizinkan membuktikan selama ini tuduhan kerajaan lemah dalam menguruskan kewangan adalah benar.
"Kenyataan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamad mengiyakan bulat-bulat kritikan terhadap Barisan Nasional (BN) selama ini bahawa pengurusan kewangannya yang lemah menyebabkan rakyat terpaksa menanggung pelbagai cukai langsung dan tidak langsung yang tinggi, termasuk cukai eksais kereta," katanya.
Sementara itu, PKR menyifatkan sikap dolak-dalik kerajaan untuk mengekalkan sistem Permit Import (AP) adalah bertujuan menjaga kroni yang rapat dengan BN.
"Ini tidak lebih daripada alasan untuk terus membenarkan golongan tertentu yang rapat dengan Barisan Nasional mendapat keuntungan atas angin sedangkan rakyat terus terbeban dengan harga kereta yang tinggi," katanya.
Semalam, Mustapa mengumumkan DAN 2014 yang antaranya tidak menghapuskan duti eksais dan mengekalkan sistem AP.
Duti eksais paling banyak menyumbangkan kepada pendapatan kerajaan dengan pada tahun lalu sahaja sebanyak RM7.3 bilion dikutip oleh kerajaan, meningkat berbanding 2012 hanya RM7.1 bilion sahaja dikutip.
Mustapa semasa pembentangan itu juga mengumumkan kerangka kerja Penurunan Harga Kereta (CPR) bagi memastikan penurunan harga kereta dapat dicapai dalam tempoh lima tahun.