Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Suap kangkung: DAP desak Adun PKR mohon maaf untuk elak keganasan

$
0
0
THE MALAYSIAN INSIDER


Penasihat DAP melihat perbuatan Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon menyuap kangkung ke mulut replika perdana menteri sebagai tidak sensitif. Gambar fail.Penasihat DAP melihat perbuatan Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon menyuap kangkung ke mulut replika perdana menteri sebagai tidak sensitif. Gambar fail.



























DAP mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR, Lee Khai Loon memohon maaf kerana menyuapkan kangkung ke replika mulut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya kumpulan ekstremis tidak menjadikan insiden itu sebagai modal mencetuskan tragedi berdarah seperti apa yang berlaku semasa 13 Mei, 1969.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata Lee perlu mempertimbangkan permohonan maaf berikutan terdapat pihak tertentu termasuk dirinya melihat perbuatan itu sebagai melampau, kasar dan tidak sensitif.

“Namun apa yang lebih penting adalah tidak membenarkan pihak tertentu mencari alasan bagi memanipulasi insiden itu untuk menghangatkan lagi kebencian kaum dan agama sehingga berulangnya peristiwa 13 Mei.

“Lee perlu memilih untuk mengemukakan permohonan maaf yang diharapkan dapat memulakan kitaran yang lebih baik kepada pemimpin politik dan aktivis agar lebih sensitif kepada kepelbagaian kaum dan agama selain keadaan politik yang tegang sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Lim berkata, Lee sudah pun menerangkan bahawa perbuatannya itu tidak berniat menghina Najib sebaliknya membawa isu bebanan rakyat yang terhimpit akibat kenaikan harga barang.

Minggu lalu, Lee mengetuai 15 peserta membuat pertunjukan memasukkan kangkung ke dalam mulut replika Najib yang kemudiannya mendorong Pemuda Umno Pulau Pinang mengadakan demonstrasi mengancam peristiwa 13 Mei.

Peserta demonstrasi membawa sepanduk "Kerana mulut pemimpin DAP berlakunya 13 Mei 1969... adakah anda mahu lagi?", “Hina PM seperti hina Melayu”, "Melayu Pulau Pinang bertahan kerana makan kangkung" dan "ABCD_ Asal bukan Cina DAP" dan "DAP musuh Islam”.

Lim berkata ancaman tersebut akan memulakan rusuhan kaum yang “tidak bertanggungjawab, bahaya, hasutan kepada kebencian kaum, agama serta konflik”.

“Pertamanya, DAP tidak terlibat dengan pertunjukan suap kangkung anjuran Adun Machang Bubuk daripada PKR yang membuatkan Pemuda Umno dan sekutunya mengadakan bantahan,” katanya.

Pemimpin veteran DAP itu berkata, Malaysia akan berdepan dengan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei jika ekstremis dan kumpulan pendesak dibenarkan meneruskan “kempen membenci kaum dan agama”.

“(Ia akan terjadi) Jika tiada tindakan segera oleh pihak berkuasa mengakhiri usaha penyebaran kebencian kaum dan agama, hasutan dan kemarahan yang tidak bertanggungjawab dalam masyarakat.”

Katanya, rakyat Malaysia perlu mengenal pasti perbezaan cintakan negara dan pengkhianatan kepada negara bagi menyelamatkan Malaysia daripada berulangnya peristiwa 13 Mei.

“Mereka yang cintakan tanah air berkata tentang keamanan, perpaduan dan tolak ansur di kalangan rakyat Malaysia tetapi pengkhianat negara mencetuskan konflik, kebencian dan tidak toleransi.

“Adakah pemimpin Barisan Nasional (BN) bersedia menyertai Pakatan Rakyat  bagi mempromosikan patriotisme, keamanan, perpaduan dan tolak ansur serta menolak perpecahan, konflik dan kebencian?” soalnya.

Lim berkata, Najib dan anggota Kabinet perlu menghentikan siri jelajah Umno Selangor yang hanya akan mencetuskan lebih kemarahan, syak wasangka dan hilang kepercayaan dalam negara berbilang kaum.

Kira-kira 30 siri jelajah dirancang Umno Selangor bersama pertubuhan Islam bagi menerangkan kontroversi perundangan di Selangor dan melarang penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam.

“Inilah masanya semua pemimpin parti politik tanpa mengira latar belakang parti membuktikan kesatuan, keharmonian dan tidak berasa malu mengasingkan diri daripada pengkhianat yang mencetuskan kebencian kaum dan agama.

“Salah satu cara menguji kesetiaan terhadap negara adalah apabila pemimpin politik atau pertubuhan menyemarakkan api kebencian kaum dan agama,” kata Lim.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722