Dakwa ada Taming Sari, alat warisan 
 Noor Jan dalam sidang media baru-baru ini, mendakwa mendapat pengiktirafan ICJ.
 

SEAWAL jam 8 pagi 10 pegawai polis berpakaian preman, dari IPD Melaka Tengah sudah berada di pekarangan Jeti Tanjung Batu.

Sekitar jam 9 pagi pula, dalam keriuhan menunggu feri, Noor Jan dan isteri muncul. Dipercayai kira-kira 60 pengikut Noor Jan tiba di jeti sama.

Beberapa wartawan mendekati Noor Jan dan isteri. Belum lama dia berbual, Raja Shahrom datang mencelah perbualan.

Noor Jan meninggalkan kumpulan wartawan mengikut Raja Shahrom yang disangka orang awam.

Raja Shahrom kemudian memperkenalkan diri dan menyatakan Noor Jan akan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Pada waktu itu sekumpulan empat lagi polis preman menyertai Raja Sharom menahan Noor Jan.

Dia kemudian dibawa ke sudut belakang jeti sebelum ke foyer jeti dan dimasukkan ke dalam kenderaan polis lalu dibawa ke IPD Melaka Tengah.

Raja Noor Jan Shah adalah salah satu nama digunakan selain Norjan Shah Tuah Shah, Raja Alang Norjan Alang Tuah dan Yang Maha Mulia Raja Norjan Shah Yang Maha Mulia Raja Tuah Shah.

Kali pertama dia diketahui menuntut takhta Sultan Melaka ialah pada November 2005.  Sejak itu, dia terus mendakwa sebagai Sultan Melaka walaupun dakwaannya itu dinafikan banyak pihak.

Dia mempunyai kes lampau membabitkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 2006.

"Jika saya bukan sultan sebenar, saya tidak akan buat dakwaan ini. Kami sentiasa berbangga dengan sejarah kami, era kegemilangan Melaka, tetapi ia tidak diendahkan,” kata Noor Jan suatu ketika dahulu.

Dia mengaku dirinya keturunan Sultan Abdullah Muhammad Shah yang memerintah Perak dari 1851 hingga 1857.

Dia juga mendakwa memiliki keris Taming Sari, tongkat Lang Buana dan pelbagai lagi alat kebesaran warisan Sultan Melaka.

Lelaki ini juga pernah menyewa sebuah kereta Rolls Royce yang dijadikan gimik pada majlis pertabalannya.

Polis kemudian mengesahkan kereta itu yang dimiliki oleh sebuah syarikat kereta terpakai menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tiada cukai jalan.