Johan (dua, kiri) bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed (dua, kanan), Pengarah Urusan Perundingan Pengurusan dan Risiko KPMG, Datuk Hew Lee Lam Sang (kiri) dan Kim Chuan menunjukkan laporan itu di Kuala Lumpur, kelmarin.
SEBANYAK 90 peratus daripada pekerja swasta di Malaysia yang mengakui wujud penipuan dalam syarikat mereka berpendapat sogokan dan rasuah adalah kos menjalankan perniagaan yang tidak dapat dielakkan di negara ini.
Pengarah Urusan KPMG Malaysia, Johan Idris berkata, Laporan Tinjau Selidik Penipuan, Sogokan dan Rasuah 2013 yang dijalankan firma audit itu mendapati 83 peratus responden menyatakan penipuan adalah masalah besar bagi perniagaan tempatan dengan separuh daripada mereka mengakui isu ini dihadapi organisasi mereka.
Penemuan itu menunjukkan sebahagian besar daripada 48 peratus responden yang mengakui wujud penipuan dalam syarikat mereka percaya sogokan dan rasuah adalah masalah besar bagi perniagaan di Malaysia.
Selain itu, 64 peratus lagi menganggap perniagaan tidak dapat diteruskan tanpa membayar wang sogokan.
“Ketetapan minda sebegini, menganggap penipuan, sogokan dan rasuah menjadi lumrah perniagaan adalah berbahaya kerana kita seolah-olah membudayakan sikap menerima dan memandang remeh kegiatan penipuan.
"Organisasi hanya bertindak balas terhadap penipuan dan bukannya mengambil langkah untuk mengatasinya,” katanya pada majlis pelancaran Laporan Tinjauan Selidik Penipuan, Sogokan dan Rasuah 2013 oleh KPMG di Kuala Lumpur, kelmarin.
Laporan itu melibatkan tinjauan di 100 syarikat seluruh Malaysia.
Penipuan semakin canggih
Menurut Johan, jenayah penipuan dalam dunia korporat semakin berubah dengan hasil kajian mendapati peningkatan 98 peratus dalam jumlah penipuan sepanjang tiga tahun lalu dan 94 peratus responden berpendapat penipuan kini dilakukan dengan cara lebih canggih.
Menurutnya, laporan itu yang kini masuk edisi kelima mendapati 48 peratus daripada responden mendakwa organisasi mereka menjadi mangsa penipuan dengan sebanyak 62 kes penipuan dilaporkan.
“Sebanyak 62 peratus daripada organisasi tersebut adalah dari industri perdagangan dan perkhidmatan, produk pengguna dan pembinaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perundingan Pengurusan dan Risiko KPMG, Tan Kim Chuan berkata, sebanyak 42 peratus responden melaporkan insiden penipuan berlaku dalam julat nilai RM10,001 hingga RM100,000.
"Hasil kajian mendapati 55 peratus berpendapat penipuan dilakukan akibat sikap tamak dan gaya hidup.
KPMG turut mengesan maklumat profil umum penipu iaitu lelaki berusia antara 26 hingga 40 tahun dengan pendapatan tahunan RM60,000 ke bawah serta berkhidmat selama lima tahun atau kurang.
Penipuan didapati dilakukan oleh kakitangan pelbagai peringkat dan kakitangan dalaman muncul sebagai ancaman utama dengan menjadi 68 peratus daripada sumber penipuan manakala 32 peratus lagi daripada sumber luar iaitu pelanggan, pembekal dan penyedia perkhidmatan.
Sogokan makin meningkat
Laporan itu juga menunjukkan 80 peratus responden percaya sogokan dan penipuan telah meningkat dalam tempoh tiga tahun lalu.
Menurut Kim Chuan, sebanyak 65 peratus responden mengakui isu itu amat membimbangkan perniagaan mereka dan 46 peratus responden mengakui menerima aduan mengenai sogokan dan rasuah.
Laporan itu menunjukkan bayaran tunai adalah bentuk sogokan paling umum, dengan matlamat utama untuk meraih atau mengekalkan perniagaan.
Selain itu, satu lagi faktor penting yang mendorong sogokan dan rasuah ialah bagi mendapatkan kelulusan rutin daripada agensi kerajaan.
"Jelas walaupun perniagaan mereka mungkin mengalami kesan negatif, syarikat sukar untuk mematuhi peraturan berhubung rasuah dan sogokan dengan 33 peratus responden tidak tahu mengenai Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya.
Walaupun laporan KPMG menunjukkan kejadian sogokan dan rasuah adalah rendah, tahap kealpaan terhadap risiko ini amat membimbangkan.
Laporan itu menunjukkan sebanyak 61 peratus responden berpendapat syarikat mereka tidak ada prosedur pengawasan secukupnya dengan 62 peratus melaporkan kekurangan prosedur mantap untuk melakukan penyiasatan teliti terhadap rakan perniagaan yang terlibat dalam isu sogokan dan rasuah.
Menurut Johan, penemuan itu mendedahkan banyak organisasi masih kurang faham kewajipan dan risiko dihadapi mereka dalam usaha menangani isu sogokan dan rasuah.
"Laporan ini mendedahkan tahap pendidikan dan kesedaran lebih tinggi diperlukan (bagi menangani isu rasuah dan sogokan dalam perniagaan)," katanya.