Orang ramai boleh membuat aduan kepada polis dan SKMM.
PETALING JAYA: Pengarah Kanan Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Sheikh Raffie Abd Rahman menegaskan tiada siapa yang bebas berjudi di dalam talian (online).
“Judi itu salah dari segi undang-undang jadi masyarakat perlu faham mana-mana jenayah dilakukan dalam dunia ini, ianya tetap salah walaupun dilakukan dalam talian.
“Undang-undang itu ada, jadi kalau berjudi itu salah, ianya tetap salah,” katanya apabila dihubungi FMT.
Sheikh Raffie berkata perkara ini turut melibatkan laman perjudian yang mendakwa mereka tidak akan diganggu oleh pihak berkuasa kerana beroperasi di dalam talian.
“Jangan ragui undang-undang. Kalau kena tipu contohnya, ianya tetap satu kesalahan walaupun dilakukan di dalam talian,” tambah beliau.
Beliau bagaimanapun berkata SKMM sentiasa berkerjasama dengan pihak berkuasa untuk membanteras laman-laman web yang menyalahi undang-undang.
“SKMM sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti polis untuk untuk memudahkan pemantauan kita,” katanya.
Beliau menambah, orang ramai boleh membuat aduan kepada polis dan SKMM sekiranya mengesan kewujudan laman web yang menyalahi undang-undang.
Cabutan khas
Aktiviti judi dalam negara juga dilihat semakin menjadi-jadi sehingga DAP menyelar tindakan kerajaan pusat meluluskan 22 permit Cabutan Khas 4D kepada setiap syarikat nombor ramalan (NFO) di semenanjung untuk tahun ini.
Syarikat-syarikat yang terlibat ialah Magnum, Damacai dan Sports Toto – yang bakal menyaksikan penambahan 66 cabutan khas dalam tahun 2014, di mana cabutan akan diadakan pada setiap hari Selasa setiap minggu.
Ahli Parlimen Seremban DAP Anthony Loke bertanya adakah penambahan itu merupakan langkah terdesak kerajaan pusat untuk mengutip hasil cukai.
Sementara itu, pada penghujung tahun lalu, bekas menteri kabinet Datuk Zaid Ibrahim dalam posting blognya menggesa kerajaan memberikan lesen hiburan dan perjudian kepada orang Melayu supaya mereka turut merasa hasil kekayaan dari industri ini.
Zaid antara lain mendakwa lesen perjudian hanya diberikan kepada kroni Barisan Nasional (BN) yang menggunakan keuntungan besar mereka melalui industri ini untuk membina hartanah mewah di Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain di seluruh dunia.
Perkara ini, menurut Zaid, menyebabkan orang Melayu tidak mampu untuk membeli hartanah di bandar.
Gesaan Zaid itu bagaimanapun mendapat kritikan keras dari pemimpin Umno dan juga PAS yang menentang pemberian lesen tersebut kepada orang Melayu yang sinonim dengan agama Islam.