Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dituduh dayus kerana tidak mempertahankan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam isu rampasan Injil, kecam akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.
Dalam edisi Mingguan Malaysia hari ini, Awang Selamat menuduh Khalid tunduk dan takut kepada rakan komponen dalam Pakatan Rakyat (PR).
"Nampaknya Khalid sekali lagi membenarkan dirinya tunduk kepada tekanan DAP selain terbawa-bawa pendekatan liberal PKR.
"Antara menjaga kesucian Islam dan kepentingan politik, beliau memilih yang kedua," kata Awang Selamat merujuk kepada isu rampasan kitab Injil baru-baru ini oleh Jais.
Awang mempersoalkan sikap Khalid yang tidak tegas dalam cubaan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang mahu meminda Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam).
"Keputusan Mahkamah Rayuan dalam isu tersebut juga sudah jelas. Menteri besar jenis apakah beliau?
"Sepatutnya Khalid lantang menyanggah cubaan berbahaya tiga wakil rakyat DAP yang mahu Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 dipinda," katanya.
Awing berkata, Khalid dayus kerana bersubahat dengan pemimpin bukan Islam dalam Pakatan melibatkan isu kalimah Allah.
"Khalid tidak boleh menjadi dayus dan kelihatan bersubahat dengan pemimpin DAP memudaratkan kepentingan Islam," katanya.
Sementara itu, Awang juga menyifatkan isu kalimah Allah sebagai cabaran pada masa depan yang bakal dihadapi oleh umat Islam.
"Inilah ujian kepada masa depan umat Islam.
"Berserah begitu sahaja dalam isu kalimah Allah atau bangkit mempertahankannya habis-habisan ketika pihak lain jauh lebih berani dan ke hadapan," katanya.
Awal bulan ini, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) dan merampas lebih 300 AlKitab dan Bup Kudus (Bible Iban), manakala Presiden PBM dan pengurus pejabat ditahan untuk disoal siasat.
Kejadian berlaku sewaktu pekerja sedang membawa masuk barangan dan pejabat mereka didatangi 20 pegawai Jais bersama dua anggota polis kira-kira jam 2 petang.
Pegawai PBM dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 4 petang hari yang sama namun tidak diberitahu sebarang pertuduhan yang akan dikemukakan kepadanya.
Susulan kontroversi tersebut, pelbagai pihak daripada pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin Umno memberikan reaksi marah kerana tidak berpuas hati dengan cara kerajaan negeri Selangor yang dilihat berlembut dalam isu tersebut dan tidak mempertahankan tindakan Jais.
Malah, Khalid juga mengarahkan Jais supaya memaklumkan kepada kerajaan negeri dalam menjalankan operasi selepas ini bagi mengelakkan lagi tercetusnya kontroversi