Wong Chin Huat
Soalan pokok dalam krisis menteri besar Selangor ialah: Siapa pembuat keputusan yang berhak? Pertama, mereka yang di Selangor atau di luar Selangor? Kedua, mereka yang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau yang di luar DUN?Kalau mengikut semangat federalisme, jawapannya jelas, perihal sesebuah negeri itu memang harus ditentukan dalam negeri itu. Kalau mengikut semangat sistem kerajaan berparlimen, jawapannya juga jelas, kerajaan negeri itu dinaikkan atau dijatuhkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) saja.
Habis, mengapa tidak krisis MB Selangor sekarang ini ditentukan di Selangor dan oleh Adunnya saja? Mengapa juga tidak krisis MB Kelantan pada 1977 itu ditentukan di Kelantan dan oleh Adunnya saja? Artikel saya mengenai krisis di Kelantan boleh dibaca di sini.
Apakah alasan Umno pada 1977 untuk menentukan siapa antara ahli PAS – Muhamed Nasir atau Wan Ismail Wan Hashim yang harus menjadi MB bagi BN Kelantan seolah-olah itu ‘hak bersama’ Umno dan PAS?
Sayangnya, daripada episod Kelantan, PAS cuma mengambil iktibar untuk tidak bekerjasama dengan Umno dan tidak menghasilkan prinsip dalam kerajaan gabungan yang boleh memandu tingkah laku parti yang bergabung.
Dan tanpa prinsip jelas, golongan munafik mudah bermaharajalela dan susah untuk diperbetulkan.
Jepun, 1996-2009: Seorang PM baru setiap dua tahun
Dalam tempoh 13 tahun dan 9 bulan dari Januari 1996 ke September 2009, Jepun diperintah 7 perdana menteri, semuanya di bawah pemerintahan Parti Demokratik Liberal (LDP). Antaranya, Koizumi Jun’ichir berkuasa sepanjang 5 tahun dan 5 bulan. Ini bermakna 6 PM yang lain berkuasa tidak sampai 17 bulan pada puratanya.
Kecuali seorang yang meninggal dunia kerana strok, 5 PM lain meletak jawatan kerana sokongan awam yang rendah atau kegagalan mengatasi kebuntuan politik. Peletakan jawatan kuasa mereka ini membuka jalan untuk pemilihan pemimpin – lain daripada contoh Parti Konservatif UK dan Parti Buruh Australia, pemilih LDP selain ahli Parlimen (Diet) juga merangkumi wakil-wakil wilayah (prefectures).
Walaupun pertukaran PM yang begitu kerap bukan fenomena yang positif kerana mungkin kurang kesinambungan polisi daripada seorang PM ke PM yang lain.
Tetapi, ini juga bermakna LDP cukup fleksibel mencari bakat baharu untuk menghadapi kebuntuan politik. Bayangkanlah betapa bahayanya jika seseorang PM yang terlalu tidak popular itu terus berkuasa sampailah partinya ditolak rakyat dalam pilihan raya.
Kerumitan sistem berparlimen di Malaysia
Mengapa pertukaran seorang ketua kerajaan di peringkat negeri – dan bukan kebangsaan – pun begitu susah?
Ini kerana sistem Malaysia berbeza daripada sistem kerajaan berparlimen Westminster yang asal dalam tiga aspek.
Pertama, kepimpinan parti Malaysia rata-ratanya dilantik wakil parti atau ahli parti, dan bukan oleh wakil rakyat. Ini menyebabkan kemungkinan berlakunya masalah “dua kepala” kerana kepala parti itu berbeza dengan kepala kerajaan itu. Ini mudah menghasilkan perbezaan antara kedua-dua pucuk pimpinan ini dan melemahkan parti.
Kedua, parti di Malaysia bergabung untuk memerintah, sekarang untuk kedua-dua gabungan pemerintah dan gabungan pembangkang. Maka, pertukaran pimpinan parti dalam kerajaan tertakluk kepada bukan saja pimpinan parti di luar Dewan, malah pimpinan parti lain yang bergabung.
Akhirnya, kerana parti Malaysia bersifat pemusatan, keputusan dibuat bukan di peringkat gabungan negeri tetapi di peringkat gabungan kebangsaan.Kerumitan paradigma lama
Krisis MB Kelantan pada 1977 dan MB Selangor sebenarnya adalah seruan untuk paradigma atau pendekatan baru. Dalam percubaan memecat menteri besar yang tidak disukainya, kedua-duanya PAS pada 1977 dan PKR pada 2014 sebenarnya bermula dengan saluran parti tetapi gagal. Kedua-dua Nasir and Khalid mencari perlindungan di bawah gabungan kebangsaan dan hasrat parti mereka berjaya disekat parti sepakat masing-masing iaitu Umno dan PAS.
Krisis MB Kelantan itu disusuli dengan rusuhan pro-Nasir, pengumuman darurat di Kelantan selama 4 bulan, penamatan gabungan PAS-Umno dalam BN, Pilihan Raya Umum (PRU) tergempar sebaik saja penamatan darurat dan kekalahan teruk PAS dalam PRU negeri Kelantan itu.
Apakah perkara yang sama atau semirip akan berlaku di Selangor? Kita masih menunggu lagi keputusan AJK Pusat PAS pada 13 Ogos yang akan datang.
Kalau PAS akhirnya akan menyokong Khalid sepertimana Umno menyokong Nasir 37 tahun yang lepas, maka kemungkinan besar gabungan Pakatan Rakyat akan berpecah pada peringkat kebangsaan seperti perpecahan gabungan BN dalam erti penyingkiran PAS.
Yang mungkin berbeza ialah perpecahan parti jika gabungan berbeza. Pada 1977, PAS mengalami perpecahan dengan penyingkiran puak Nasir dan wakil rakyat yang enggan keluar BN. Pada 2014, yang lebih mungkin berlaku perpecahan itu nampaknya PAS, dan bukan PKR. Ini kerana Khalid tidak nampak kuat di akar umbi PKR tetapi PAS terbahagi antara puak pro-Pakatan dan puak anti-Pakatan.
Undi tidak percaya? PRU tergempar?
Ramai di kalangan penyokong PKR mengharapkan sokongan PAS untuk pemecatan Khalid akan menjadi titik noktah dalam kes ini. Unjuran ini kurang realistik kerana kedudukan Khalid tidak tergugat secara rasminya sehingga undi tidak percaya diluluskan dalam DUN.
Pada 1977, Nasir degil untuk tidak berundur setelah undi tidak percaya dibuang semua 21 Adun PAS yang lain. Jika Khalid ikut jejak Nasir, beliau akan menghadapi bantahan keras dan hilang semua sokongan moralnya.
Maka, jika berlakunya undi tidak percaya, Khalid berkemungkinan besar akan memohon restu Istana untuk membubarkan DUN untuk PRU tergempar.
Ini akan merugikan ketiga-tiga parti Pakatan termasuk dan menguntungkan hanya Umno dan BN. Ini kerana ramai penyokong Pakatan yang kecewa akan tidak balik atau keluar undi sungguhpun mereka tetap tidak menyokong BN.
Ada juga yang akan menyokong parti ketiga atau calon bebas atau terus membuang undi rosak sebagai tanda bantahan. Pakatan juga akan menghadapi masalah pembahagian kerusi dan kerjasama di akar umbi setelah suasana yang negatif selama ini.
Yang paling teruk kepada Pakatan ialah undi tidak percaya mungkin tidak dapat berlaku sebelum November, iaitu tempoh sidang DUN yang ditetapkan. Sebaliknya, Khalid boleh memohon pembubaran DUN pada bila-bila masa saja.
Sehingga MB dan gabungan pemerintah diselesaikan, sama ada kekalkan Khalid di bawah gabungan lain atau kekalkan PR dengan MB yang lain – pihak yang paling rugi ialah rakyat Selangor. Di bawah sistem berparlimen, jika ketua kerajaan itu bersengketa dengan rakan dalam parti, maka itu lebih semacam kerajaan sementara (caretaker government) daripada kerajaan sebenar.
Biar 44 Adun PR pilih antara Khalid dan Wan Azizah
Cara penyelesaian krisis MB Selangor yang paling rendah kos sosio-politik dan paling menguntungkan rakyat Selangor ialah biar kaukus PR Selangor, iaitu semua 44 Adun PR, bersidang dan memilih antara Khalid dan Dr Wan Azizah sebagai ketua PR di Selangor. Kalau PAS ingin menamakan calon lain, namakan sajalah.
Dan kalau pengundian ini dilakukan dengan undi terbuka, maka nyata sekali siapa yang dapat keyakinan majoriti dalam kaukus PR. Ini seterusnya boleh mengelakkan beban berat bagi pihak istana untuk memanggil semua Adun dan memastikan calon mana yang disokong ramai.
Cara ini membenarkan ketua kerajaan ditukar tanpa pembubaran DUN dalam masa 15 bulan daripada PRU lepas. Ini memang satu kebaikan reka sistem kerajaan berparlimen, seperti dalam kes UK, Australia dan Jepun.
Jika Dr Wan Azizah atau calon baru lain yang menang, maka Khalid harus undur dengan bermaruah. Sebaliknya, jika Khalid berjaya mengekalkan sokongannya, maka PR harus memberikan sokongan penuh kepada Khalid untuk melengkapkan penggalnya.
Pengundian kaukus PR adalah cara paling demokratik kerana yang memilih antara Khalid dan pencabarnya adalah wakil rakyat yang diangkat 60% pengundi Selangor. Hasrat asal pengundi ini harus dihormati. Maka sebarang perubahan yang berlaku itu bukan ditentukan mereka yang tidak diundi rakyat Selangor.
Soalan pokoknya, apakah Khalid cukup berani untuk menghadapi Adun PR? Apakah Dr Wan Azizah dan PKR berani menguji kekuatan mereka? Apakah PAS pusat berani menghormati pilihan wakil rakyat PR yang bermandat daripada PRU13?
Apakah mereka sanggup menerima pertarungan individu ini sebagai cara penamatan perang saudara PR Selangor?