Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Langkah kerajaan negeri mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menutup pusat mencuci kenderaan tidak berlesen serta-merta sebagai langkah menjimatkan penggunaan air, tidak memadai.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Jacob George berkata, kerajaan negeri sepatutnya dari awal lagi memikirkan langkah yang lebih proaktif bagi mengelakkan Selangor daripada kembali dibelenggu masalah kekurangan bekalan air bersih.
Namun pemimpin Pakatan Rakyat Selangor lebih sibuk berpolitik sehingga mengabaikan kebajikan dan kepentingan rakyat, ujar Jacob.
"Ini adalah satu langkah pertama dalam satu SOP yang kita minta.. ini sepatutnya dah dimulakan sejak lima enam bulan lalu.
Tapi tidak diambil sebab mereka sibuk berpolitik," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor semalam memutuskan agar PBT mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pengusaha-pengusaha pusat cuci kenderaan supaya membuat persediaan yang sewajarnya, bagi tujuan berkenaan.
Bagi pusat cuci kenderaan berlesen pula, mereka hanya dibenarkan beroperasi selama enam jam sehari, dari jam 12 tengah hari hingga 6 petang berkuatkuasa serta-merta.
"Untuk kenyataan tentang tindakan yang diambil PBT tentang memantau atau buat sekatan ke atas kedai cuci kereta dan sebagainya, kita alu-alukan sebab itu yang kita minta (sebelum ini).
"Bukan saja yang berlesen dan tak berlesen, tapi ke atas semua outlet yang ada masa kini," ujar Jacob lagi.
Untuk rekod, data yang dikeluarkan berhubung status semasa sumber air Selangor pada 6 Ogos oleh Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Yunus Hairi menunjukkan paras air di Empangan Sungai Selangor berada pada tahap 32.48 peratus, manakala di Empangan Sungai Tinggi berada pada tahap 45.62 peratus.
Paras air di empangan Sungai Selangor itu mencatatkan penyusutan dengan kadar 1.18 peratus dalam tempoh seminggu ketika data diambil pada 30 Julai.
Dengan pengeluaran data itu, ia secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan orang ramai apatah lagi paras 32.48 peratus di empangan Sungai Selangor itu hanya dua peratus melebihi paras kritikal, di mana paras kritikal ialah 30 peratus.