Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

S'gor: SPAN bimbang dua empangan utama merosot

$
0
0
MALAYSIAKINI


 


Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bimbang dengan kadar penurunan paras air di dua empangan utama di Selangor - Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi.

Menurutnya, kedua-dua empangan itu yang membekalkan air mentah bagi memenuhi 60 peratus permintaan air negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, telah mengalami penurunan paras yang ketara.

"Sebarang kelewatan dalam menangani penurunan paras kedua-kedua empangan itu akan meningkatkan risiko gangguan bekalan air yang lebih serius akibat kekeringan simpanan," katanya.

Di samping itu, kata SPAN, sekiranya dibiarkan terus menyusut, ia akan menyukarkan proses pengisian semula kedua-dua empangan itu pada hujung tahun.

Sehubungan itu, SPAN berkata satu keputusan akan diambil oleh kerajaan Selangor dalam masa terdekat bagi menangani paras empangan yang kian menyusut termasuk kemungkinan mengadakan pengagihan air berjadual.

Bagaimanapun, katanya, pengagihan air berjadual merupakan pilihan akhir yang perlu dilaksanakan sekiranya keadaan benar-benar mendesak.

SPAN berkata, pihaknya kerap mengadakan perbincangan kerap dengan kerajaan Selangor bagi memastikan bekalan air yang berterusan kepada penduduk di negeri itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"SPAN turut menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor setiap minggu bagi membincangkan langkah-langkah untuk meningkatkan keupayaan sumber air.

"Perbincangan bersama kerajaan negeri Selangor perlu memandangkan mereka adalah stakeholder utama dalam isu bekalan air dan pengguna-pengguna yang terlibat ialah penduduk-penduduk di negeri Selangor," katanya.

Menurut SPAN lagi, sebagai pihak yang bertanggung jawab ke atas kecukupan sumber air di negeri itu, kerajaan negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan keupayaan air mentah.

Selain usaha pembenihan awan yang dilakukan secara berterusan, katanya, LUAS telah berusaha untuk meningkatkan aliran air Sungai Selangor melalui pengepaman daripada kolam bekas lombong di Bestari Jaya.

"Penggunaan kolam sebagai sumber air mentah bukanlah merupakan suatu usaha yang baru di negara ini kerana air kolam merupakan sumber alternatif yang boleh digunakan jika ia selamat dan bebas daripada logam-logam berat.

"Sehingga kini, difahamkan bahawa LUAS mampu mengepam sebanyak 500 Juta Liter Sehari (JLH) iaitu 16 peratus sdaripada keperluan air mentah (3,000 JLH) bagi loji-loji rawatan air utama di Lembangan Sungai Selangor dan dijangka dapat mempertingkatkan jumlah tersebut kepada 800 JLH sebelum 8 Ogos 2014," katanya.

Berhubung dengan isu kualiti air di kolam-kolam berkenaan, sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas kuantiti serta kualiti sumber air mentah, Kerajaan negeri Selangor menjalankan ujian kualiti air secara berterusan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai pihak yang berkecuali.

"Hasil ujian menunjukkan bahawa air kolam tersebut tidak mengandungi logam berat dan adalah selamat untuk dirawat," katanya.

Di peringkat SPAN sendiri, katanya, suruhanjaya itu memantau kualiti air terawat yang dikeluarkan di LRA SSP1, SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang iaitu sesuatu yang terletak di bawah bidang kuasa SPAN sebagai badan kawal selia air terawat.

"Semua operator telah diminta supaya menjalankan ujian secara berterusan khususnya bagi parameter logam-logam berat yang diuji setiap minggu.

"Setakat ini, air terawat yang terhasil dari loji-loji rawatan air tersebut mematuhi Standard Kualiti Air Minum yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Selain daripada ujian oleh operator, air terawat juga turut diuji oleh Kementerian Kesihatan sebagai badan berkecuali mengikut kekerapan seperti Program Kebangsaan Mutu Air Minum.

"Oleh yang demikian, tidak timbul keperluan untuk SPAN menjalankan ujian ke atas air mentah di kolam-kolam takungan," katanya.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722