ANTARAPOS.COM
PETALING JAYA: Pemimpin DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim menolak kritikan daripada pemimpin parti itu yang mempersoalkan kehadirkannya pada majlis menandatangani perjanjian industri air antara Selangor dan Putrajaya minggu lalu.
Teng yang hadir pada majlis itu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan dibidas Adun Kinrara Ng Sze Han dan Ketua Publisiti DAP Selangor, Ronnie Liu.
“Mereka tidak dapat membezakan politik dan pentadbiran. Saya kasihankan mereka,” kata Teng dalam satu kenyataan.
Ng dan Liu mendakwa kehadiran Teng pada majlis itu membelakangkan kepentingan DAP yang menolak perjanjian air dengan Putrajaya serta menyokong tindakan PKR mahukan Khalid digantikan sebagai Menteri Besar.
Teng berkata beliau adalah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, justeru Ng dan Liu perlu akur dan menghormati kedudukannya itu.
“Saya sebahagian dari CEC. Ng Sze Han tidak, jadi saya sebahagian dari pasukan yang membuat keputusan (untuk DAP).
“Dia tidak sampai ke status itu, tidak sepatutnya dia buat kenyataan tanpa pemahaman,” kata beliau.
PKR mahu menggantikan Khalid dengan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. DAP bersetuju dengan keputusan itu namun pimpinan tertinggi PAS masih mahu Khalid mengekalkan jawatan itu.