Kegagalan 'Langkah Kajang' dilihat berpunca daripada Anwar yang sengaja mencipta kemelut politik Selangor.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata langkah memilih Wan Azizah sebagai menteri besar (MB) untuk melengkapkan penyerahan jawatan itu kepada Anwar kelak harus diikut seperti yang direncana oleh Anwar sendiri selama ini.
“Jika Wan Azizah tidak ikut, dia akan dianggap isteri nusyuz (derhaka). Jadi tidak salah kalau ada kenyataan yang menyifatkan Wan Azizah ini hanya ‘boneka’ Anwar.
“Wan Azizah boleh lantik Anwar sebagai penasihat, pakar rujuk atau MB sekali pun, itu gimik politik yang boleh dibaca,” lapor Astro AWANI di sini.
Noh juga mengulas laporan sebuah akhbar mengenai reaksi Wan Azizah yang tidak kisah seandainya digelar ‘boneka’ selepas dinamakan sebagai calon MB Selangor menggantikan menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Di dalam laporan tersebut, Wan Azizah berkata akan melantik suaminya, Anwar Ibrahim sebagai penasihat sekiranya perlu mengisi jawatan itu nanti.
Katanya lagi, kegagalan ‘Langkah Kajang’ dilihat berpunca daripada Anwar yang sengaja mencipta kemelut politik Selangor walaupun tahu akan dihukum penjara lima tahun kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.
“Anwar yang merencana semuanya, dia tahu dia akan dipenjarakan dan pada masa yang sama menyuruh ADUN Kajang meletak jawatan dengan alasan ‘Langkah Kajang’.
“Hari ini selepas semuanya gagal, kesalahan dicalit kepada BN, ini sikap mereka sejak dahulu lagi,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanjong Karang.