Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, buat masa ini kerajaan negeri giat menjalankan usaha pembenihan awan dan kerja pengepaman air dari kolam Hang Tuah bagi memastikan kapasiti air di empangan mencukupi.
“Walaupun pada masa ini paras air tidak berada di paras kritikal, Kerajaan Negeri tetap menjalankan usaha berterusan bagi memastikan bekalan air mencukupi sebelum tiba musim tengkujuh.
“Ketika ini, usaha pembenihan awan dan kerja pengepaman dari kolam berdekatan juga giat dijalankan seperti yang dirancang,” katanya dipetik Selangor Kini.
Beliau berkata, kedatangan musim tengkujuh yang dijadual bulan Oktober ini mampu membantu meningkatkan paras Empangan Sungai Selangor yang kini berada di paras 32.48 peratus.
Menurut beliau, musim tengkujuh akan akan membawa taburan hujan lebih tinggi di pantai barat termasuk Selangor.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa pengguna di Selangor agar lebih cermat ketika menggunakan air bagi mengelakkan penurunan ke paras kritikal iaitu 30 peratus.
“Ini belum tiba Elnino lagi. Kalau tiba Elnino pasti keadaan menjadi buruk lagi. Jadi sebab itu saya nasihatkan pengguna lebih berjimat menggunakan air,” katanya.
Dr Ahmad Yunus berkata, Empangan Sungai Tinggi mencatatkan bacaan lebih tinggi iaitu pada 45.62 peratus ketika ini, selain Sungai Selangor.
Dalam pada itu, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mengesahkan bahawa tiada gangguan bekalan air di Selangor dan syarikat itu tidak berhasrat untuk melakukan sebarang catuan bekalan air di negeri itu setakat ini.
“Kami akan memberi notis sekiranya ada catuan bekalan air tetapi setakat ini, memang tiada gangguan bekalan air,” kata Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Priscilla Alfred dipetik Astro AWANI.- HARAKAHDAILY