ANTARAPOS.COM
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu mengekalkan Khalid sebagai MB kerana berpendapat beliau cemerlang menerajui Selangor dan bebas rasuah.
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau sedia disiasat oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan salah guna kuasa dan pecah amanah yang dilontarkan oleh PKR hari ini.
Beliau berkata segala tuduhan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution adalah serius tetapi tidak benar.
"Jika Saifuddin mempercayai tuduhan-tuduhan itu, beliau harus segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis dan Bank Negara serta mendedahkan semua maklumat yang diperolehinya," kata beliau.
"Kegagalan berbuat demikian hanya akan mendorong spekulasi bahawa tuduhan ini berbaur politik dan berniat jahat," tambah Khalid.
Khalid bagaimanapun tidak menjelaskan kenapa beliau tidak memberikan penjelasan mengenai dakwaan-dakwaan itu kepada pimpinan PKR meskipun diminta berbuat demikian sebagaimana yang didakwa oleh Saifuddin.
Pagi tadi Saifuddin berkata laporan penuh mengenai kewibawaan Khalid termasuk urusannya dengan syarikat swasta dalam pemberian projek membina rumah mampu milik serta penjualan tanah kerajaan negeri akan diajukan kepada pimpinan PAS dan DAP.
Laporan itu akan mengupas dalil kenapa PKR mengambil ketetapan Khalid tidak berwibawa lagi untuk memegang jawatan Menteri Besar Selangor dan harus diganti dengan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.