Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Adab berperang dalam Islam tidak boleh membunuh kanak-kanak, orang tua ataupun wanita. Tentera Islam juga dilarang meroboh rumah ibadat penganut agama lain serta memusnahkan tanam-tanaman.
[ULASAN] Adab berperang dalam Islam tidak boleh membunuh kanak-kanak, orang tua ataupun wanita. Tentera Islam juga dilarang meroboh rumah ibadat penganut agama lain serta memusnahkan tanam-tanaman.
Demikian juga dalam politik. Adalah tidak wajar pembunuhan karakter pesaing dilakukan hanya kerana didorong nafsu mahu membentuk persepsi baik dan mulia tentang diri sendiri di kalangan rakyat.
Lebih buruk lagi ialah jika modal fitnah itu adalah sumber kehidupan seperti bekalan air bersih. Sesungguhnya ini adalah amat keji kerana tanpa air yang bersih ia bukan sahaja mengancam kehidupan tetapi boleh merosak ibadah ummah.
Mungkin atas premis inilah maka PAS tidak menghalang malah menganggap inisiatif yang diambil oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bagi meleraikan masalah bekalan air di Lembah Kelang sebagai tindakan mulia.
PAS pendokong sunnah dan bertindak ikut sirah Rasulullah. Justeru menyokong kesediaan Khalid untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat mengelakkan musibah besar kemarau bekalan air adalah sesuatu kewajipan.
Mungkin PAS berkira bahawa tidak ada defisit atau kerugian politik jika mengambil jalan berkerjasama dengan kerajaan Umno-BN dalam memberi pekhidmatan asas seperti bekalan air ini.
Mungkin atas pendirian sebegini PAS masih belum mahu beranjak daripada pandangan peribadi Presidennya, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang mahu Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor.
Malah sokongan daripada ahli dan penyokong PAS di seluruh negara ke atas pendirian Hadi itu semakin menular dan jelas. Semakin ramai kini sedar kebijaksanaan pesan Rasulullah s.a.w. supaya mematuhi adab berperang.
PAS nampaknya sedar bahawa strategi politik air yang digunakan oleh Pakatan Rakyat sejak 2008 adalah kurang manusiawi dan zalim.
Bagaimanapun sebelum ini mungkin tiada keadaan yang mendesak untuk PAS menyuarakan rasa tidak puas hatinya selama ini sehinggalah timbul kontroversi mahu menggantikan Khalid yang “tiada dosa politik” sebagai menteri besar..
Mungkin juga kesengsaraan rakyat disebabkan catuan bekalan air beberapa bulan lalu yang terpaksa diambil oleh kerajaan negeri Selangor menginsafkan PAS bahawa soal menyediakan perkhidmatan adalah wajib dan lantas ia tidak wajar dijadikan senjata politik.
Isu air pengaruhi keputusan tukar MB
Justeru meskipun partinya sendiri, PKR, sudah menitipkan supaya beliau terus bertegas supaya jangan bekerjasama dengan kerajaan pusat berhubung isu bekalan air bersih di Lembah Kelang, PAS berpendirian “keengkaran” Khalid itu sesuatu yang mulia.
Mungkin ada banyak faktor lain yang mendorong PAS tiba-tiba memecah tradisi dan seolah-olah “mahu mencampuri proses” membuat keputusan dalam PKR.
Namun apa yang jelas dalam isu Menteri Besar Selangor ini PAS memandang orientasi politik PKR seolah-olah bukan sahaja “menganiaya” Khalid malah “mendera” rakyat juga.
PAS adalah sebuah parti ideologi. Mungkin selama ini keadaan tidak mengizinkannya untuk menterjemahkan ideologi politiknya untuk mencetus satu cara hidup. Faktor kewangan dan perundangan mungkin menjadi kekangan.
Lantaran itu, dari masa ke masa PAS akan mengulangi keazmanannya untuk mendapatkan ruang mengatasi kekangan-kekangan berkenaan. Menyertai Pakatan Rakyat adalah salah satu ikhtiarnya.
Bagaimanapun belum sempat ia memperjelaskan ideologinya berhubung tataurus kerajaan yang lebih adil dan membawa kebajikan kepada semua seperti memperkukuh sistem keadilan dan perundangan, ia segera dicantas oleh sekutu DAP dan PKRnya.
Yang pasti pimpinan PAS sudah menimba banyak pengalaman berhubung pengurusan ekonomi yang dipasung oleh sistem kapitalis apabila ia mula memerintah Kelantan pada 1990.
Bagaimanapun selepas 2008 jaringan pengalaman pengurusan ekonomi PAS semakin meluas hingga meliputi sistem dan aktiviti kapitalis lebih rumit seperti di Perak dan Selangor.
Justeru PAS semakin yakin strategi politik yang “mendera” rakyat seperti menafikan mereka sistem bekalan air yang sempurna atas alasan strategi politik langsung tidak boleh diterima.
Mungkin di peringkat ini PAS perlu memperkemas cara penyampaian dan penghuraian bagaimana ideologi politik Islamnya boleh memberi manfaat kepada rakyat dan negara dengan lebih berkesan.
Justeru kempen besar-besaran dan tersusun perlu dibuat untuk mendapatkan khidmat pakar sistem bekalan air, elektrik, pengkaji sosial dan ekonomi serta penyelidik seperti Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Khalid Ibrahim untuk membantunya menterjemahkan ideologi ini agar serasi kehendak zaman.
Lantas PAS perlu memperbaiki jaringan pemikiran dan tindakan politiknya agar ia boleh benar-benar menjadi pembimbing pemikiran dalam Pakatan Rakyat tentang keindahan dan keberkesanan sistem politik Islam.
Khalid Ibrahim dan kerusi Menteri Besar adalah kes uji yang baik untuk PAS menyemarakkan pemikiran politiknya. Di segi prasarana ekonomi Islam, kerajaan Umno-BN sudahpun menyediakan tapak sistem ekonomi Islam yang mulai mendapat sambutan. PAS harus berjiwa besar menggabungkan segala unsur ini demi Islam.
Selepas bersatu suara dan berkongsi rasa dengan semua ahli-ahli Dewan Rakyat mengutuk keganasan penembakan pesawat MH17 dan kezaliman Zionis di Gaza dan merentasi “adab dan tahyul” politik tidak boleh menegur rakan sekutu Pakatan Rakyat, PAS harus beriltizam untuk bekerja dengan sesiapa jua yang boleh membawa kesejahteraan pada ummat.
Ajaklah PKR dan DAP teruskan kerjasama politik demi rakyat. PAS bukan sempurna, begitu juga rakan-rakan politiknya. Usahlah sentiasa melihat saingan politik sebagai musuh tetapi hulurkan nikmat politik berkebajikan kepada semua, termasuk Umno dan BN.