OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Peningkatan kadar tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor terlalu membebankan pengusaha teksi Johor Baru ke Singapura apabila hanya memperoleh pendapatan sekitar RM6 untuk sekali perjalanan.
Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Tuan-tuan Punya Teksi Kereta Sewa Johor Baru ke Singapura A Wahab Hashim berkata, jumlah berkenaan adalah pendapatan bersih yang diperoleh kira-kira 174 pengusaha teksi di bandaraya itu sekiranya pulang ke Johor tanpa penumpang dari Singapura.
"Saya tidak boleh nak kata apa-apa, kenaikan itu terlalu mendadak," katanya kepada The Malaysian Insider di Johor Baru.
Wahab berkata, bagi perjalanan Johor Baru ke Singapura, setiap penumpang akan dikenakan bayaran RM15, manakala kadar rata untuk sebuah teksi kereta sewa adalah RM60 sekali perjalanan ke Singapura.
Kos perjalanan perkhidmatan teksi termasuk bahan api, tol di CIQ dan bayaran trip di Singapura adalah RM33.65 untuk perjalanan ke Singapura. Penumpang dari Singapura pula perlu membayar tambang $SD40 (RM102.40) sehala untuk perjalanan ke Johor Baru.
"Kami tidak mendapat sebarang pendapatan sekiranya tidak pulang membawa penumpang dari Singapura," katanya dan menambah, mereka terpaksa menunggu hingga 10 jam untuk mendapatkan penumpang di Singapura.
"Kami juga terpaksa meredah kesesakan lalu lintas kira-kira tiga jam sebelum dapat menyeberangi Tambak Johor,” katanya.
Seorang pengusaha teksi kereta sewa yang ditemui The Malaysian Insider mengakui perkara itu, dan berkata pendapatan mereka turut terjejas dengan kenaikan kadar tol di samping kesukaran mendapatkan penumpang.
"Paling banyak trip kami dari Johor Baru ke Singapura hanya dua kali perjalanan. "Bayangkan jika kami hanya mendapat satu trip, apa yang kami dapat," katanya yang enggan dikenali.
Katanya, peningkatan kadar tol baru sehingga 400% itu juga begitu mendadak, malah ada antara pemandu teksi kereta sewa yang tidak mengetahui perkara itu kerana masih lagi bercuti sempena Aidilfitri.
"Ini pun ramai lagi yang tidak tahu, saya sendiri terkejut kerana notis yang diberikan terlalu singkat,” katanya.
Seorang lagi pemandu teksi warga emas yang enggan dikenali berkata, faktor usia menyebabkan perjalanannya berulang-alik dari Johor Baru ke Singapura agak terhad.
"Kalau orang muda mungkin boleh buat dua hingga tiga trip Johor Baru ke Singapura. "Saya sudah tua, tidak larat lagi hendak kejar trip," katanya, merujuk perjalanan keluar masuk dari Johor Baru ke Singapura.
Wahab berkata, pihaknya akan menemui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi meminta pengecualian kenderaan awam untuk kenaikan tol berkenaan.
"Saya baru bekerja semula selepas bercuti, mungkin saya akan menghubungi SPAD dalam masa terdekat. "Perkara ini hanya dimaklumkan kepada kami pada minggu lepas, kami tidak sempat berbuat apa-apa untuk mengatasinya," katanya.
Penggunaan kadar baru tol berkenaan bermula 1 Ogos lalu, sekali gus mencetuskan kekecohan apabila sebilangan kecil pemandu bas menghalang laluan memasuki Singapura.
Tindakan berkenaan mengakibatkan kenderaan lain terutama bas kilang tidak dapat meneruskan perjalanan ke Singapura untuk menghantar pekerja. Susulan tindakan mereka, ribuan pekerja terpaksa berjalan kaki untuk menyeberangi Tambak Johor sebelum menaiki bas di Woodlands.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada 26 Julai lalu mengumumkan kadar baru tol arah masuk CIQ itu bagi kenderaan Kelas 1 hingga Kelas 5 yang masing-masing bernilai RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4.80 dan RM7.80, manakala bagi kadar arah keluar bernilai RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50.