Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Keretakan dalam perpaduan semakin nyata. Bibit-bibit perpecahan semakin ketara dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Saban hari ada sahaja kritikan dan tuduhan dilemparkan di kalangan pemimpin dan penyokong masing-masing.
Sejak proses pemilihan parti bermula April lalu, ketidakselarasan fikiran dan harapan politik ahli-ahli semakin menjarak. Malah dasar dan halatuju parti sendiri mulai dipertikaikan.
Pemilihan yang menggunakan konsep ‘satu ahli satu undi’ itu benar-benar merangsang sikap berpuak dalam politik PKR yang semakin membuak. Hakikat pemilihan yang sepatutnya berakhir 11 Mei lalu ditangguhkan beberapa kali menghangatkan lagi belanga politik PKR.
Baru-baru ini Timbalan Ketua Cabang Sungai Petani, Ishak Man mengungkit bahawa keadaan kucar-kacir dalam parti itu sekarang ini berpunca daripada perancangan dangkal Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.
Projek Langkah Kajang punca krisis PKR makin parah
Beliau menemplak projek “Langkah Kajang” yang diilhamkan oleh Rafizi sebagai jalan singkat untuk menyelesaikan masalah perpaduan dalam parti.
Namun hujahnya, tindakan itu akhirnya lebih meruncingkan lagi perbalahan dan persaingan mencari pengaruh dalam PKR.
Ishak yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Kedah berkata, Rafizi adalah arkitek projek Langkah Kajang yang gagal itu. Malah beliau mendakwa idea Rafizi ini menjadikan persaingan merebut kuasa di antara kem presiden, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan Timbalannya, Azmin Ali, makin melebar.
Beliau mendakwa projek Langkah Kajang itu adalah strategi Serampang Dua Mata ahli parlimen Pandan untuk “memancing” Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya mencabar Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden dan pada masa yang sama mahu “menikam Azmin dari belakang”.
“Rafizi adalah arkitek di sebalik malapetaka yang dihadapi oleh parti sekarang. Beliau mahu Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang,’ kata Ishak.
Bagaimanapun, beliau mendakwa, jauh daripada menyelesaikan masalah membantu Anwar dibebaskan daripada tuduhan liwat yang dihadapi, Rafizi telah menyebabkan keadaan dalam parti makin meruncing.
Strategi politik Rafizi busukkan Anwar, Azmin dan Saifuddin?
Mengikut skim Langkah Kajang, jika menang pilihan raya itu, Anwar akan dilantik menjadi menteri besar sekaligus “memadamkan” masalah politik besar kepala Khalid dan juga mungkin menumbangkan Azmin sebagai Timbalan Presiden.
Lantaran itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail diuja supaya bertanding jawatan Timbalan Presiden demi menundukkan Azmin dan Khalid. Rafizi sendiri bertanding jawatan Naib Presiden dengan memilih masuk regu Nurul Izzah (Naib Presiden) dan Saifuddin.
Pendekatan berpuak Rafizi mencemar nama dan rekod baik Saifuddin sebagai Setiausaha Agung kerana memilih untuk menggunakan pendekatan regu politik. Akibatnya, beliau menduduki tangga tercorot dalam pemilihan Timbalan Presiden setakat ini.
Dalam persaingan itu, fokus pemilihan di Cabang-cabang banyak dipengaruhi kedudukan Azmin yang terkenal sebagai seorang pengasas dan amat setia dengan perjuangan PKR dengan Khalid yang dikatakan mempunyai pengaruh kewangan yang besar.
Berikutan itu sisi buruk politik PKR pun terserlah. Tuduhan politik wang, salahguna kuasa, menggunakan kekerasan dan campurtangan kongsi gelap mula menonjolkan wajah hodohnya dalam politik PKR.
JPP jadi mangsa percaturan politik rapuh Rafizi
Yang menjadi sasaran ialah, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang dipengerusikan oleh pemimpin veteran Datuk Johari Abdul. Daripada 198 ada 70 aduan atau bantahan dikemukakan yang menyebabkan pemilihan semula terpaksa diadakan di beberapa Cabang.
Pelbagai dakwaan dan tuduhan dilemparkan di antaranya ialah rasuah wang, salahguna kuasa dan juga penipuan dalam mengira undi. Kekecewaan terhadap pimpinan bertambah goyah.
Bagaimanapun apabila pihak JPP mendakwa ia lebih cekap dan telus dalam mengendalikan pemilihan berbanding Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), dan cuba mengaitkan pihak luar, khususnya Umno kerana kelemahan pengurusannya, darjah kepercayaan terhadap pimpinan parti semakin merosot.
Rentetan itu, apabila suara-suara protes supaya punca masalah PKR ini diselesaikan segera dengan menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, penyokong bekas tokoh korporat itupun mengeruhkan lagi keadaan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Akin menggesa Khalid supaya memikul tanggungjawab moral untuk melepaskan kedudukan sebagai menteri besar Selangor kerana sudah tidak diterima di peringkat akar umbi. Dalilnya, Khalid tewas sebagai ketua Cabang Kuala Selangor.
Askar Khalid, Faekah Husin 'naik angin'
Kenyataan ini membuat bekas Setiausaha Politik Khalid, Faekah Husin “naik angin” dan menganggap kenyataan Shamsul yang juga seorang peguam mempamerkan kebodohannya dalam bidang undang-undang.
Untuk mengukuhkan hujahnya, Faekah mempersoalkan sama ada exco Selangor, Dr Daroyah Alwi juga perlu meletak jawatan kerana beliau juga tewas jawatan Ketua Cabang Kapar.
Lebih mengelirukan lagi ialah Faekah juga membandingkan hakikat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak mempunyai jawatan yang dipilih dalam parti tetapi ini tidakpun mengurangkan “legitimasi”nya untuk menjadi Ketua Pembangkang.
Dalam proses mempertahankan bosnya, Faekah juga mendedahkan bahawa Shamsul bukan sahaja pengampu yang telah “mencarik kesepakatan dalam Pakatan Rakyat” dan “merosakkan imej PKR di mata rakyat” tetapi Shamsul juga ialah ialah seorang yang gagal melaksanakan amanah diberikan pada beliau.
“Sewajarnya Shamsul Iskandar bermuhasabah diri mengenai prestasi beliau selaku pengerusi Jawatankuasa Bertindak Felda di Selangor sebelum ini.
“Dengan laporan kerja yang tidak pernah diterima pentadbir negeri , wajarkah beliau mempersoal kredibiliti seorang menteri besar yang terbukti keupayaannya di mata rakyat. Beliau harus jawab,” kata Faekah.
Sama ada Shamsul menjawab atau tidak sindiran Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) merangkap Penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Kelang itu, serang-menyerang dan tuduh menuduh di kalangan pemimpin dan penyokong PKR adalah satu lumrah hari ini.
Jika tiada usaha mendamaikan dilakukan, tidak mustahil PKR mungkin menjadi punca keruntuhan Pakatan Rakyat seperti yang disifatkan oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang, ia akan menjadi “persepakatan untuk pilihan raya umum satu musim sahaja”.