Produk ini boleh digunakan dalam jangka masa panjang dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif EntoGenex Industri Sdn.Bhd, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar berkata Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) dengan kerjasama syarikat EntoGenex Sdn.Bhd telah menghasilkan produk bagi menangani masalah denggi di Malaysia.
Menurut beliau, dua produk yang akan dipasarkan pada akhir Ogos nanti dapat membantu kerajaan dalam usaha mencegah denggi, malaria dan chikungunya.
“Dua produk tersebut ialah Mousticide RH dan Mousticide WP. Kajian selama 28 tahun telah dilakukan sebelum produk ini dipasarkan kepada pengguna.
“Mousticide RH ini boleh menghapuskan 100 peratus pembiakan nyamuk aedes dan ia sangat efektif terutamanya di kawasan perumahan dan rumah flat.
“Ia juga boleh diletakkan di tempat seperti longkang dan kawasan takungan air,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 50 ribu unit produk ini telah dihasilkan dan akan dijual di farmasi dan pasaraya di Malaysia.
“Produk ini dijual dengan harga RM19.90 seunit dan boleh dibeli secara online di www.Entogenex.com,” jelasnya.
Pengarah EntoGenex, Marcus Francis pula berkata produk ini telah berada di pasaran luar negara seperti di Singapura dan Filipina.
Kata Francis lagi produk ini juga akan dipasarkan ke negara seperti Sri lanka dan Myanmar.
“Kita yakin produk ini dapat memberi manfaat kepada kerajaan di samping menghapuskan kawasan-kawasan pembiakan nyamuk aedes di negara ini,” ujarnya.
Merujuk kepada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia, pada minggu kedua tahun 2014 bagi tempoh 5 hingga 12 Januari, sejumlah 1,946 kes demam denggi telah dilaporkan di seluruh negara.