Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Larang kumpulan Kristian Sarawak masuk Semenanjung, kata Perkasa

$
0
0
OLEH MOHD FARHAN DARWIS
 

Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) menuntut agar larangan dikenakan terhadap kumpulan penganut Kristian Sarawak untuk memasuki Semenanjung memandangkan mereka mencadangkan untuk mengharamkan pihak berkuasa agama Selangor memasuki Sarawak.

 Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali menegaskan, pihak gereja Sarawak sebelum ini bebas bergerak memasuki Semenanjung ketika prosiding mahkamah berjalan terhadap akhbar penerbitan mingguan Herald di Putrajaya.

 "Perkasa juga minta kumpulan Kristian yang meminta anggota Mais dan Jais dilarang masuk ke Sarawak juga dihalang masuk ke Semenanjung," katanya merujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Syed Hassan turut berkata, kumpulan berkenaan tidak berhak membuat tuntutan sedemikian.

"Selama ini pihak gereja dari Sarawak yang kerap berulang-alik memberi sokongan kepada Herald dalam tuntutan menggunakan kalimah Allah dalam semua terbitan Melayu mereka.

 "Tidak pernah pihak Islam Semenanjung menggesa mereka dihalang masuk ke Semenanjung. "Mereka bebas keluar masuk tanpa kita sekat. Apa hak mereka nak halang orang Semenanjung ke Sarawak?" kata Syed Hassan.
 
Pertelingkahan berterusan terhadap rampasan 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban oleh pihak berkuasa agama di Selangor mencetuskan kemarahan penganut Kristian Sarawak yang kini menuntut negeri itu melarang pegawai penguatkuasa Jais dan Mais daripada memasuki negeri berkenaan.

Sarawak melarang kemasukan individu yang dilabelkan mereka sebagai ekstremis agama walaupun berlainan negeri. Malaysia Timur memerlukan dokumen identiti perjalanan untuk memasuki Sarawak dan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Penganut Kristian mahu melihat senarai hitam termasuk pegawai rasmi daripada kedua-dua pihak berkuasa agama Selangor terutamanya Pengerusi Mais Datuk Mohd Adzib Mohd Isa.

Pemimpin Kristian Sarawak membuat laporan polis terhadap Mais dan Jais baru-baru ini kerana enggan menyerahkan Bible yang dirampas Jais daripada Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) pada 2 Januari lalu.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mula menguatkuasakan larangan dan sekatan terhadap ekstremis agama daripada memasuki Sarawak.

Kemarahan semakin memuncak di negeri itu terhadap dua jabatan agama negeri Selangor itu yang tidak bertoleransi apabila enggan memulangkan Bible versi bahasa Melayu dan Iban meskipun diarahkan Pejabat Peguam Negara (AGC).

AG berkata PBM bebas daripada sebarang salah laku, namun Mais berkata ada kesalahan yang dilakukan PBM di bawah enakmen negeri Selangor.

Mais juga kini sedang mendapatkan perintah mahkamah untuk memusnahkan kesemua 321 Bible yang dirampas.

Mais juga melibatkan Jais, yang berada di bawah bidang kuasa mereka untuk tidak menuruti arahan dikeluarkan kerajaan negeri Selangor kerana "negeri tidak mempunyai kuasa" berhubung perkara itu.

Bible itu diperuntukkan untuk kegunaan Sabah dan Sarawak di bawah terma Perjanjian 10 Perkara yang membenarkan pengimportan Bible sedemikian.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722