MALAYSIAKINI
Agak sukar untuk membuktikan sama ada rang undang-undang kontroversi Johor yang memberikan peranan kepada sultan dalam pentadbiran, sebagai tidak sah.
Ini ekoran “kejanggalan” dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri, kata pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari hari ini.
Katanya, perlembagaan tidak pernah mentafsirkan maksud raja berperlembagaan dan tiada apa dilakukan oleh kerajaan memerintah bagi menyingkirkan “kejanggalan besar” itu.
Beliau juga membangkitkan soal lantikan anggota yang tidak dipilih untuk menguruskan kerajaan, yang menurutnya sama bermasalah seperti Rang Undang-Undang bagi menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor itu.
Rang undang-undang itu jadual dibentang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor esok.
“Dalam kerajaan sekarang terdapat peruntukan membenarkan anggota bukan dipilih menjadi exco.
“Ini salah daripada sudut pandang sebuah kerajaan bertanggungjawab dan telah digunakan untuk berhujah menentang rang undang-undang Johor.
“Ingat lagi perebutan kuasa di Perak pada 2009 dan bagaimana setiausaha kerajaan negeri memainkan peranannya? Juga di Selangor apabila pelantikan setiausaha negeri menjadi kontroversi?
“Nampaknya isu rang undang-undang Johor ini lebih kecil berbanding dengan kejanggalan yang malangnya dibenarkan oleh perlembagaan,” kata Aziz kepada Malaysiakini hari ini.