THE MALAYSIAN TIMES

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berikrar untuk melaksanakan tanggungjawabnya sepenuh hati dan bebas daripada pengaruh luar demi memelihara martabat serta maruah dewan yang mulia.
Dalam ucapan sulungnya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff berkata beliau juga akan berusaha meningkatkan lagi kewibawaan institusi Parlimen supaya budaya demokrasi berparlimen negara bertambah berkesan, adil dan saksama.
Katanya, Dewan Rakyat menpunyai kedudukan yang tertinggi bagi menentukan undang-undang negara untuk seluruh rakyat Malaysia, mempunyai kewibawaannya sendiri selain melengkapkan cabang-cabang pemerintahan yang lain.
“Justeru, peranan Parlimen sebagai medan perbahasan dan perdebatan yang bebas mestilah dihayati sebaiknya, dan usaha-usaha pembaikan dan menaik taraf proses penggubalan undang-undang mestilah berterusan supaya Parlimen ini terus dihormati dan disegani segenap lapisan masyarakat,” katanya selepas dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada mesyuarat pertama Parlimen ke-14 di sini hari ini.
Pencalonan beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang kesembilan dicadangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan disokong Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mohamad Ariff juga mahu Anggota Parlimen melaksanakan tugas berbahas dengan berasaskan kepada kejujuran dan tanggungjawab serta saling hormat-menghormati dalam rangka demokrasi berparlimen.
“Saya percaya tutur kata dan perlakuan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian akan memastikan kita mampu capai matlamat-matlamat tinggi dewan ini,” katanya.
Beliau berkata persidangan Dewan Rakyat kali ini menjadi perhatian dunia kerana ia merupakan kali pertama peralihan kuasa berlaku dalam Malaysia dan dalam keadaan yang penuh aman.
Katanya sejarah peralihan kuasa itu menyaksikan Malaysia menongkah arus politik global apabila warganegaranya bertindak untuk terus memperkasakan dan terus mempercayai sistem demokrasi sebagai wadah perubahan, dan menjadi inspirasi di serata dunia.
“Ini bukti keampuhan sistem demokrasi berparlimen kita untuk menangani perbezaan dan perselisihan yang sudah pasti wujud dalam mana-mana negara, lebih-lebih lagi dalam negara kita yang berbilang kaum dan pegangan ini,” katanya.
Dalam itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada perdana menteri dan timbalan perdana menteri yang telah mencadang dan menyokong pencalonan beliau.
Beliau turut memberi penghargaan kepada bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta wakil rakyat sebelum ini atas usaha mereka memakmurkan dan menghidupkan budaya demokrasi negara ini.
“Tugas ini membawa tanggungjawab yang cukup besar, dan saya berikrar untuk berusaha sedaya upaya semampu saya untuk memenuhi amanah ini sebaiknya,” katanya.–Bernama