Pelantikan Malanjum melonjakkan lagi nama, prestasi serta kewibawaan produk institusi pengajian tinggi Bumiputera tersebut.

Malanjum sentiasa memberi pandangan bernas kepada graduan undang-undang UiTM supaya ke hadapan dalam profesion tersebut, sama ada di peringkat negara mahupun antarabangsa. (Gambar Bernama)
Presiden PAUiTM Datuk Mohd Zaini Hassan berkata pelantikan Malanjum itu sekali gus melonjakkan lagi nama, prestasi serta kewibawaan produk institusi pengajian tinggi Bumiputera tersebut.
Beliau turut berharap Malanjum dapat menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin mengikut lunas-lunas perlembagaan persekutuan.
“Kami berharap rakyat dapat menyokong pelantikan anak Sabah itu dan memberi peluang kepada beliau menjalankan tugasnya demi negara tercinta ini,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawang PAUiTM semalam.
Dekan FUU UiTM, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad menyifatkan Malanjum sebagai seorang alumni yang sangat rapat dengan fakulti tersebut.
“Sebagai seorang hakim kanan di negara ini, Richard (Malanjum) dilihat sebagai mentor dan contoh baik bagi semua pelajar di universiti berkenaan.
“Sebagai alumni perintis FUU, Malanjum tidak pernah melupakan persada yang mengasuh dan membentuk dirinya menjadi seorang tokoh hebat dalam dunia perundangan negara,” kata Rahmat.
Beliau berkata Malanjum sentiasa memberi pandangan bernas kepada graduan undang-undang UiTM supaya ke hadapan dalam profesion tersebut, sama ada di peringkat negara mahupun antarabangsa.
“FUU UiTM dan PAUiTM amat berbangga mempunyai seorang alumni yang kini diberi kepercayaan dan penghormatan untuk mengetuai badan kehakiman negara,” katanya.
Malanjum mengikuti Program Luaran Sarjana Muda Undang-Undang (London) di Institut Teknologi MARA (ITM) pada 1972-1975.
Beliau merupakan anak kelahiran Bumiputera Sabah yang pertama dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia.