Ahli Majlis Tertinggi Lokman Noor Adam berkata Ilmu terus dimanfaatkan tetapi pada kadar yang kurang sibuk kerana kekangan dana.

Lokman Adam berkata belum ada cadangan untuk berhenti menggunakan Ilmu.

Ahli MT Umno, Lokman Adam.
“Belum lagi ada cadangan untuk berhenti menggunakannya,” kata Lokman, ketika ditanya mengenai nasib pusat yang hanya diketahui orang ramai baru-baru ini, selepas pendedahan FMT.
Lokman berkata kegiatan di Ilmu perlu diperlahankan bagi mengurangkan perbelanjaan. “Akaun Umno kebanyakannya sudah dibekukan, macam mana hendak biaya aktiviti latihan macam biasa.”
Sebelum ini FMT melaporkan Ilmu yang rancak dengan pelbagai aktiviti bertukar sepi selepas kekalahan Umno pada pilihan raya 9 Mei lepas.
Seorang pengusaha rumah inap berdekatan percaya pusat itu menjadi tempat untuk “brain wash” ahli Umno, tetapi para penduduk kampung mengalu-alukan kewujudannya.
Menurut penduduk, Ilmu mengambil khidmat orang kampung untuk keperluannya daripada penyenggaraan hingga ke penyediaan makan dan minum ketika program berjalan.
“Kita akan menggunakan Ilmu seperti biasa, cumanya kuantiti mungkin dikurangkan disebabkan kekangan kewangan,” kata Lokman.
Lokman dihubungi untuk mengetahui status terkini pusat itu. Menurut beliau, kursus pertama Ilmu pada tahun ini akan diadakan pada 10 hingga 12 Ogos depan.
“Pemantau Malaysia Baru dan Sekretariat Biro Penerangan akan mengadakan kursus asas pembangkang berkesan,” katanya. Beliau enggan mendedahkan intisari kursus berkenaan.
Ditanya mengenai pendanaan, Lokman optimis para ahli dan orang ramai yang prihatin akan menyumbang kepada operasi pusat latihan yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan dan asrama.
“Saya yakin rakyat akan membantu bagi memastikan Umno terus hidup dan kekal relevan,” katanya.
Pada masa sama, Lokman menafikan laporan FMT yang melaporkan dakwaan terdapat aktiviti menaikkan bendera DAP dan PAS dan memaki hamun parti-parti itu.
“Itu cerita tahyul,” katanya.
“Kalau ada ucapan pertikai DAP itu munasabahlah sebab kita memang menentang fahaman ‘Malaysian Malaysia’, namun bagi PAS pula, sudah 4-5 tahun kita lakukan gencatan senjata,” katanya.
Ditanya mengenai gencatan itu, Lokman berkata kedua-dua parti terbuka hati selepas bencana besar melanda Kelantan yang diperintah PAS 4 tahun lalu. Ketika itu, Kelantan ditadbir oleh orang kuat Pakatan Rakyat, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Kita membantu rakyat tanpa ambil kira latar belakang politik, terutama semasa banjir besar di Kelantan pada 2014. Ini menyebabkan hubungan Umno dan PAS baik,” katanya.