Quantcast
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

7 hari tempoh untuk Dr Maszlee tolak UEC

Manzaidi Mohd Amin
 
 
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik diberi masa tujuh hari untuk mengubah fikiran, pendirian dan sikap beliau supaya tidak mengiktraf Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) jika tidak mahu berhadapan dengan bantahan dan kebangkitan besar-besaran bantahan rakyat.

Amaran itu diberikan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) bersama Gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) setelah mendapat tindak balas positif dari lapisan masyarakat yang membantah cadangan kerajaan untuk mengiktiraf UEC.

Menurut Ketua Eksekutif Mappim, Mohd Zai Mustafa, dalam capaian empat jam di laman Ummah, menyaksikan lebih 20,000 sokongan daripada masyarakat yang meninggalkan komen menuntut Dr Maszlee menolak UEC.

“Kita juga turut menerima sokongan daripada tokoh pendidikan negara, tokoh bahasa, tokoh akademik, tokoh politik veteran, tokoh NGO-NGO, warga pendidikan dan rakyat.

“Mappim dan Gabungan 300 NGO Ummah akan terus menyeru sokongan daripada pelbagai pihak termasuk parti politik dan pimpinan mereka yang mahu bersama dalam gerakan himpunan bantahan rakyat kepada Menteri Pendidikan untuk mengubah pendiriannya mengiktiraf UEC,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Jelas Mohd Zai, pihak tidak teragak-agak memberi amaran, sekiranya menteri masih membisu dan berdegil bagi mempertahankan pendiriannya untuk mengiktiraf UEC, mungkin beliau adalah menteri yang pertama dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang akan bakal berdepan menghadapi gelombang bantahan kebangkitan daripada rakyat di Kementerian Pendidikan, Putrajaya.

Katanya, Mappim juga telah menerima sokongan lebih daripada 10 peguam pelbagai persatuan untuk meneliti dan mengkaji bagi mengambil tindakan menghalang keputusan itu.

“Untuk menjelaskan pendirian Mappim dan dokongan pelbagai pihak gabungan lebih 300 NGO Ummah, satu sidang media akan diadakan esok jam 11 pagi di Pejabat NGO Muafakat di pusat bandar Taman Melawati.

“Kita menyeru seluruh rakyat Malaysia bersatu pendirian tanpa mengira bangsa, politik dan agama agar menjaga keutuhan sistem pendidikan negara daripada diruntuhkan oleh pihak tertentu yang berkepentingan,” katanya. – MalaysiaGazette



Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722