Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Polis jamin keselamatan editor The Herald

$
0
0

MALAYSIAKINI




Berdepan dengan rancangan kumpulan Muslim untuk mengadakan protes di hadapan sebuah gereja di Klang Ahad ini, polis telah berjanji untuk memastikan keselamatan editor mingguan Katolik, The Herald, Lawrence Andrew.

Lawrence berkata beliau dipanggil untuk mengadakan pertemuan dengan pegawai Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang pagi tadi.


"Tiga pegawai berada di sana. Kami berbincang selama 30 minit dan mereka memberi jaminan keselamatan itu," katanya kepada Malaysiakini.

Lawrence berkata semua pegawai itu bersikap tenang dan mesra semasa pertemuan ringkas mereka.

Sekretariat Solidariti Umat Islam Daerah Klang dilaporkan akan berarak untuk mengadakan protest di Gereja 'Our Lady of Lourdes' di Klang Ahad ini sekiranya Lawrence tidak menarik kenyataannya untuk terus menggunakan perkataan 'Allah'.

Kumpulan tersebut turut mendesak Lawrence untuk memohon maaf kepada Muslim dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah seperti yang diminta beberapa lagi kumpulan yang membuat laporan polis terhadap kenyataan paderi itu.

Lawrence dalam kenyataan pada 27 Disember berkata gereja di Selangor akan terus menggunakan perkataan 'Allah' walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menyeluarkan notise peringatan ia tidak boleh digunakan orang bukan Islam.

Sementara itu, Majlis Kristian Persekutuan (CFM) turut meminta perlindungan Polis atas dasar yang sama.

Pengerusi CFM Eu Hong Seng menyambut baik amaran Polis terhadap perhimpunan tersebut dan berharap kehadiran pihak berkuasa itu demi keselamatan para pengunjung dan gereja berkenaan.

"Kami memanggil pihak polis dan pihak berkuasa yang berkaitan melakukan tugas mereka dan mempertahankan hak minoriti Kristian di Malaysia dan memastikan kesucian tempat ibadat dan keselamatan penganut kami tidak dicabuli," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Eu turut menyeru agar masyarakat Kristian di negara ini bersikap tenang tapi dalam masa sama mempertahankan hak kebebasan agama mereka seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Sementara itu Ahli Parlimen Klang Charles Santiago meminta diadakan satu pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Klang Zamarul Zaman Mamat untuk 'mewujudkan sebuah pelan keselamatan bagi pengunjung gereja' pada hari tersebut.

Sinar Harian hari ini melaporkan Sekretariat Solidariti Umat Islam Daerah Klang akan menghantar notis bantahan kepada pengarang Mingguan The Herald itu di sebuah gereja di Klang Ahad ini.

Pengerusi bersama NGO itu, Norman Toha berkata, bantahan sama turut akan diadakan di Gombak sebelum diikuti di daerah-daerah lain.

Menurutnya, ia sebagai peringatan awal terhadap tuntutan permohonan maaf yang dibuat oleh pelbagai pihak yang akan tamat pada Ahad ini.

Menurutnya, beliau tidak menolak sekiranya gesaan itu tidak diendahkan, maka kebangkitan umat Islam akan bermula berlandaskan undang-undang penguatkuasaan.

“Setakat ini kita dimaklumkan gesaan tarik balik kenyataan sudah dimaklumkan.

“Sebab itu gerakan seterusnya apabila Klang menghantar notis bantahan, saya yakin percaya gerakan-gerakan masyarakat di seluruh Selangor akan bermula ketika itu,” katanya dalam satu sidang media di Meru semalam.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722