Oleh Mohd Sayuti Omar
Tindakan PKR menggantungkan lapan orang anggotanya termasuk bekas ahli parlimen kerana melakukan berbagai kesalahan semasa pemilihan parti minggu lalu dikira sebagai langkah tepat dan perlu dihormati oleh semua pihak dalam parti berkenaan.
Penggantungan itu tentu untuk kebaikan parti. Mereka digantungkan melakukan berbagai kesalahan, paling ramai ialah apabila menghebuhkan masalah dalam parti ke media massa dan juga laman sosial.
Penggantungan mereka dibuat apabila jawatankuasa disiplin yang bermesyuarat semalam dipengerusikan Mohamed Azmin Ali. Turut sama hadir dalam mesyuarat itu ialah Anwar Ibrahim dan Abdul Khalid Ibrahim.
Sewajarnya kalau mereka diambil tindakan kerana mendedahkan masalah parti kepada umum perbuatan yang keji seperti meluduh ke langit. Mereka berbuat begitu juga tidak sayangkan parti dan lebih bertujuan untuk memburuk-burukkan parti. Apakah kemungkinan mereka sebenarnya agen yang dihantar oleh musuh PKR?
Kalau pun ada ahli yang tidak berpuas hati berhubung sesuatu membabitkan pentadbiran dan pengurusan parti, ahli parti sepatutnya mencari makenisme lain yang lebih konstruktif.
Keadaan dalam parti perlu diberi perhatian oleh semua orang dan bukannya bertindak mengikut perasaan dan nafsu nafsi. Mereka yang bercakap dengan media massa, adalah mereka memberi senjata kepada musuh untuk meranapkan PKR.
PKR perlu lebih tegas dalam berhadapan dengan gejala memburuk-burukan parti. Kalau perlu penggantungan bukan sahaja kepada lapan anggota berkenaan, tetapi kepada mereka yang menyerbu dan menendang pintu pejabat JPP di Ibu Pejabat parti juga perlu diambil tindakan.
Begitu juga yang memprotes pemilihan dengan berhimpun di hadapan pejabat juga patut sama dikenakan tindakan. Kerana walaupun mereka tidak dedah protes mereka kepada media massa tetapi pebuatan mereka memberi ruang kepada media massa menyiarkannya.
Perbuatan itu adalah kerja orang liar yang tidak tahu berorganisasi. Mereka yang liar tidak wajar berada dalam mana-mana pertubuhan.
Kalau binatang sudah pasti mereka akan dikurantinkan sebelum dilepaskan untuk dijadikan "pet".
Tindakan tegas sebegini perlu dibuat dari masa kesemasa untuk menjamin keutuhan dan integriti parti. Tanpa tindakan tegas parti akan dijadikan macam kedai kopi terserah kepada sesiapa hendak lakukan apa sahaja bukan setakat tungging kendi tetapi balik meja pun boleh dilakukan.
PKR perlu dipantau dan dipupuk menjadi sebuah parti berdisiplin tinggi sekiranya PKR mahu menjadi parti pengetua kepada Pakatan Rakyat. Mereka yang membuat hebuh tidak tentu fasal juga boleh disifatkan mereka yang tidak prihatin dan bersimpati dengan nasib ketua umum yang kini dalam keadaan menanti masa untuk dipenjarakan.
Sepatutnya semua anggota memahami keadaan ini dan semua bergerak ke arah memperkasakan parti sekiranya mereka sayang kepada ketua mereka. http://msomelayu.blogspot.com