Oleh LIM HONG SIANG
HAMPIR tiga tahun saya menulis dalam ruang pojok Siang Malam di Harakah. Sepanjang tempoh ini, saya secara sedar cuba mengelak daripada mengkritik masyarakat Muslim/Melayu - dari sudut, atau dengan nada sebagai seorang bukan Muslim-Melayu.
Sesungguhnya kelemahan dan kekurangan wujud di mana-mana kelompok manusia tanpa mengira agama dan kaum, cuma saya menganggap adalah lebih baik seandainya kelemahan sesuatu kaum ditegur dari dalam komuniti berkenaan.
Barangkali nada saya agak keras dalam tulisan berjudul Kunci dalam tangan PAS. Secara jujur, saya teragak-agak untuk menulis dengan nada sedemikian, apabila mempersoalkan sejauh manakah usaha yang dicurahkan masyarakat Muslim untuk memahamkan masyarakat bukan Muslim, tatkala menuduh bukan Muslim 'tidak faham (tentang Islam)'. Saya bukan bermaksud bahawa masyarakat bukan Muslim telah melakukan segala yang terbaik. Saya sedar juga ramai di kalangan bukan Muslim yang menyimpan prejudis dan syak wasangka terhadap agama Islam, lantaran karenah dan sikap Muslim, atau kejahilan bukan Muslim itu sendiri. Demikianlah kekurangan manusia ketika menilai sesuatu agama berdasarkan tingkahlaku penganutnya.
Saya perlu ceritakan kembali mengapa akhirnya saya mengambil keputusan untuk menulis dalam nada sebegitu, yang mungkin tidak selesa buat sesetengah pembaca. Saya menganggap barangkali kita perlu yakin bahawa tembok perkauman dan agama boleh dirobohkan sedikit demi sedikit. Jikalau inilah yang diperjuangkan sepanjang ini, bukankah ia sesuatu yang ironi apabila kita sendiri takut untuk mengusik beberapa batu-batan atas tembok itu?
Menulis di Harakah adalah satu pengalaman yang bernilai buat diri saya. Bukan sahaja saya memiliki ruang untuk berkongsi pandangan diri saya, tetapi juga bertukar pandangan dengan sahabat dan pembaca Harakah yang lain. Malah beberapa kali saya menerima jemputan daripada Harakah untuk turut serta ketika rakan bilik editorial berbuka puasa, majlis sambutan hari raya dan sebagainya. Kami makan nasi Arab bersama, bersembang dan berjenaka, sempat juga saya belajar makan menggunakan tangan - sekali dua dalam setahun. Meskipun saya cuma salah seorang kolumnis Harakah, rasanya saya diterima sebagai sebahagian daripada keluarga besar Harakah.
Maka saya menganggap saya perlu memandang masyarakat Muslim sebagai sekeluarga, dalam konteks yang lebih besar. Suka atau tidak, kita telah ditakdirkan untuk hidup bersama. Sesungguhnya kita bergeser sedikit sebanyak dalam kehidupan harian - bunyi azan dari surau, tradisi pembakaran kertas oleh Taoist, upacara mencampak buah kelapa di jalan raya oleh penganut Hindu dan sebagainya - kita pernah bertelingkah, malah bergaduh untuk hal-hal sebegini, tetapi akhirnya pengalaman ini mengasuh kita supaya lebih matang untuk menangani konflik lantaran daripada perbezaan agama dan kaum.
Tidak semuanya sempurna, perbezaan sedemikian ada kalanya menambah berat beban. Misalnya dalam majlis dengan kehadiran pelbagai kaum, ada kalanya satu ayat diulangi beberapa kali dengan penterjemahan beberapa bahasa. Ia memakan masa tetapi tuntutan ini memaksa generasi saya untuk menguasai beberapa bahasa, ditambah pula dialek yang pelbagai. Tapi ia menjadi sesuatu yang dimegah-megahkan apabila berada di luar negara, kerana warga Malaysia (Cina khususnya) boleh berkomunikasi dengan orang Indonesia, China, Mat Saleh, orang Taiwan yang hanya bertutur dalam Hokkien, orang Hong Kong dalam Kantonis - tanpa perlu bantuan penterjemah!
Akuilah, negara kita bukan sehebat mana, tetapi kemajmukan ini melahirkan sesuatu yang indah, tanpa kita menghayati sedalam-dalamnya. Lupakan sahaja apa yang diludahkan Perkasa dan Isma untuk melabelkan Cina sebagai pendatang mahupun penceroboh.
Hakikatnya Malaysia memperolehi pingat perak Olimpik melalui 'pendatang' atau 'penceroboh'. Apa yang indah di sebaliknya, Lee Chong Wei memenangi pingat perak Olimpik di bawah asuhan Misbun Sidek. Benda-benda yang kecil ini telah kita lupai tatkala sibuk melayan hujah perkauman daripada 'NGO' tak tentu pasal.
Di Sabah dan Sarawak, saya dimaklumkan bahawa isu agama langsung tidak menjadi masalah.
Gereja yang bersebelahan dengan masjid, akan membuka ruangnya sebagai tempat meletak kereta bagi Muslim yang menunaikan solat Jumaat, begitu juga dengan masjid yang akan berbuat perkara yang sama pada hari Ahad.
Setelah 57 tahun Malaya merdeka, dan 51 tahun Malaysia ditubuhkan, masanya tiba untuk kita berdepan dengan hakikat bahawa politik itu adalah bagaimana kita menguruskan sesebuah masyarakat. Cabaran kita pada zaman ini bukan lagi bagaimana kita mempertahankan hak kaum dan martabat agama sesuatu kelompok semata-mata, tetapi mentadbir negeri ini secara adil supaya maruah kaum dan agama terbela dengan penghormatan daripada setiap orang yang telah diberi keadilan.
Saya menolak keras suara dalam masyarakat Cina yang mendesak agar DAP bekerjasama dengan MCA dan Gerakan untuk menentang hudud. Hujah sedemikian mengheret Malaysia ke zaman yang menyaksikan pertembungan antara Muslim dengan 'non-Muslim'. Dengan kata lain, usaha kita untuk memecah tembok perkauman dan agama menjadi sia-sia kerana kita gagal membebaskan diri daripada belenggu politik lapuk yang ketinggalan zaman.
Saya tetap yakin bahawa kita mampu melangkaui batas ini, apabila kita mengambil selangkah ke depan untuk memikirkan masa depan kita bersama. PAS tidak lagi berfikir hanya dari sudut Islam, dan DAP juga jangan sesekali bersuara hanya untuk 'non-Muslim'. Kegusaran 'non-Muslim' harus dileraikan oleh umat Muslim, sementara keperluan agama Muslim harus dilihat sebagai sebahagian masalah 'non-Muslim' bersama.
Dalam konteks ini kritikan saya sebenarnya diajukan kepada 'orang sendiri'. Sememangnya akan ada yang manis dan yang pahit dalam hubungan ini, tetapi kita terpaksa memilih, sama ada untuk hidup bersama, atau hidup sia-sia untuk bertelagah dari siang hingga malam dan terus diperintah Umno hingga kiamat.