Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Lebih baik pilihan raya negeri daripada tunduk gertakan Ahmad Said

$
0
0
 Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Strategi politik gertak menggertak bukanlah perkara baharu yang digunakan oleh Mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sejak namanya mulai timbul dalam arena politik negeri itu pada tahun 2008. 
 
Selepas pilihan raya umum ke-12 (PRU12) tahun itu pihak istana Terengganu “keberatan” menerima Datuk Seri Idris Jusoh yang mahu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar (MB) Terengganu bagi penggal kedua.
 
Istana dikatakan menolak nama Idris Jusoh yang dihantar oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di atas beberapa sebab dan persepsi buruk mengenai kredibilitinya.
 
Ketika “tarik tali” di antara Umno dengan istana berlaku, nama Ahmad Said timbul kerana Ketua Umno Bahagian Kemaman itu adalah ADUN yang dianggap paling kanan dalam parti ketika itu. 
 
Ini disokong oleh realiti semasa bahawa beliau menerima sokongan penuh dari ketua-ketua bahagian yang digugurkan sebagai calon BN oleh Idris sebelum pilihan raya 2008.
 
Mereka termasuk, Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu), Datuk Rahman Bakar (Marang), Datuk Nasir Ibrahim (Kuala Nerus), Datuk Mohd Jidin Shafie (Setiu) dan Datuk Rosli Mat Hassan (Dungun).
 
Ahmad Said sudah diberi amaran tetapi engkar
 
Lantas walaupun diberi amaran oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor supaya jangan terima watikah pelantikan daripada istana kerana parti sudah memilih Idris, Ahmad Said engkar perintah.
 
Beliau menerima jawatan berkenaan walaupun amaran yang diberikan termasuk kemungkinan beliau akan dipecat dari Umno. 
 
Ketika itu majoriti ADUN menyokong Idris. 
 
Akhirnya Pak Lah yang “terpukul” dengan kekalahan Umno di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor terpaksa mengalah demi mengelakkan krisis yang boleh menggoncang kedudukan Umno di Terengganu.
 
Beliau tunduk kepada kehendak istana dan menerima Ahmad Said mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar pada 23 Mac 2008.
 
Malah, Ahmad Said ketika itu lagi sudah menggunakan taktik menggertaknya dengan memberi amaran kepada Umno bahawa jika dipecat apabila menerima pelantikan sebagai menteri besar, beliau akan memujuk seberapa banyak ahli Umno keluar parti. 
 
Abdullah Badawi yang “terkejut” dengan kekalahan paling besar Umno dalam sejarah politik parti pada 2008 itu tidak sanggup mengambil risiko gertakan Ahmad Said dan terpaksa menerima Ahmad Said sebagai Menteri Besar Umno.
 
Politik Umno Terengganu ibarat 'api dalam sekam' 
 
Namun pelantikan Ahmad Said tidak diterima oleh majoriti ADUN yang menyokong Idris dan ia menjadi ibarat “api dalam sekam” dalam politik Umno Terengganu sepanjang lima tahun berlalu. 
 
Natijah daripada gertakan Ahmad Said itu akhirnya terzahir dalam prestasi Umno pada pilihan raya umum tahun lalu apabila BN hanya menang 17 kerusi mengatasi PAS 14, dan PKR 1 kerusi.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan kecewa dengan prestasi BN Terengganu pada PRU tersebut. Sentimen dalam pimpinan Umno ketika itu ialah Ahmad Said harus digantikan sebagai Menteri Besar. 
 
Malangnya, Ahmad Said dikatakan menggunakan gertakan sekali lagi. Jika diturunkan, beliau menggertak, akan hanya perlu “membawa dua Adun Umno keluar”  dan Umno hilang kuasa di Terengganu.
 
Dalam keadaan tertekan itu dan demi mengelakkan krisis baru membakar politik Umno di Terengganu, Najib bersetuju Ahmad Said dilantik semula sebagai menteri besar.
 
Bagaimanapun Najib meletakkan syarat pelantikan itu adalah untuk tempoh setahun sahaja. Ahmad Said pun mengangkat angkat sumpah buat penggal kedua pada 9 Mei 2013.
 
Menyedari beliau harus meletakkan jawatan Jumaat lalu tetapi masih belum berbuat demikian, pagi semalam, 12 Mei 2014, Ahmad Said dilaporkan menemui Najib.
 
Beliau dikhabarkan meminta tangguh seminggu sehingga selesai majlis perkahwinan anaknya di Kemaman pada 17 Mei sebelum mengemukakan surat peletakan jawatannya. 
 
Najib enggan berganjak daripada persefahaman setahun lalu dan Ahmad terpaksa meletak jawatan sebagai Menteri Besar.
 
Semalam juga Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor diutus ke Kuala Terengganu untuk memberi taklimat kepada semua ADUN BN. Mereka menerima pelantikan ADUN Seberang Takir, Datuk Razif Abdul Rahman sebagai MB yang baharu.
 
Namun apabila Razif mengangkat sumpah pada jam 9.20 malam tadi di Istana Syarqiyyah di Bukit Chendering, Ahmad Said dan lima ADUN Umno lain dikatakan tidak hadir.
 
Menjelang tengah malam tadi Ahmad Said dikhabarkan menggunakan e-mail kepada Umno memaklumkan bahawa beliau meletak jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Kemaman dan ahli Umno.
 
Beliau kemudian dilaporkan membuat dakwaan ramai lagi ADUN meninggalkan Umno untuk menjadi ADUN Bebas selain dari ADUN Ajil, Ghazali Taib. 
 
Razif Ahmad ibarat 'janda berhias'
 
Jika keadaan ini berlaku maka menjadi tanggungjawab Razif, menteri besar tidak sampai 24 jam untuk menasihati Sultan membubarkan Dewan Undangan Negeri. 
 
“Bagai orang mengantuk disorong bantal”, PAS sudahpun berbunyi mahu mendesak speaker memanggil sidang tergempar Dewan Undangan Negeri Terengganu supaya undi tidak percaya terhadap Razif dilakukan.
 
Jika berjaya menolak pelantikan Razif bererti sesiapa sahaja yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri boleh dicalonkan menjadi Menteri Besar baru menggantikan Razif. 
 
Jika “pembelotan” Ahmad Said untuk memujuk empat lagi ADUN Umno keluar parti jadi realiti, maka ini akan melorongkan jalan bagi PAS mencalonkan seorang ADUNnya menjadi Menteri Besar. 
 
Bagaimanapun walaupun baru beberapa jam menjadi Menteri Besar, Razif masih mampu membuka pintu untuk Umno menyelesaikan pembelotan ini secara bermaruah. 
 
Razif boleh mempersembahkan kepada Sultan supaya membubarkan Dewan untuk mengizinkan pilihanraya negeri diadakan dan memberi peluang pada Umno “menghakimi” Adun-Adunnya yang belot.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722