ANTARAPOS.COM
SHAH ALAM: DUN Negeri Terengganu akan dibubarkan dan pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari, kata sumber pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka turun ke Kuala Terengganu petang ini dan satu sidang akhbar dijangka di adakan mengenai kemelut kepimpinan kerajaan negeri.
Kemelut itu tercetus selepas bekas Menteri Besar Terengganu dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said, Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi) keluar Umno dan mengisytiharkan diri calon bebas.
Penasihat undang-undang negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, walaupun bilangan wakil rakyat BN berkurangan daripada 17 kepada 14 dan pembangkang mempunyai 15 anggota dalam dewan undangan negeri, speaker juga dikira sebagai wakil kepada kerajaan negeri.
Justeru kedudukan perwakilan dalam DUN Terengganu adalah 15(BN):15 (Pakatan Rakyat):3 (bebas).
Selepas Ahmad meletakkan jawatan sebagai menteri besar pada Isnin, ADUN Seberang Takir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau Negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu malam Isnin.
Azhar berkata, pihaknya kini sedang meneliti beberapa undang-undang negeri untuk dirujuk berhubung perkembangan politik di Terengganu ketika ini.
Sementara itu, Badan Perhubungan PAS Terengganu mengadakan mesyuarat khas di sini dan Pesuruhjaya PAS Negeri Satiful Bahri Mamat dalam satu kenyataan berkata, "tindakan yang perlu sedang diambil" dan "kami akan memutuskan perkara yang terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini" .
PAS mempunyai 14 wakil di dewan undangan negeri dan PKR, satu.
Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Aziz Yusof berkata pihaknya hanya boleh masuk campur dalam krisis politik di negeri itu setelah dewan dibubarkan.
“Ia terpulang kepada rundingan parti politik. SPR tiada ruang di sini. Saya tidak tahu apa yang akan terjadi. SPR akan campur tangan jika ada pembubaran DUN,” katanya.
Barisan Nasional (BN) sehingga berita ini ditulis bukan lagi menjadi parti majoriti di Terengganu selepas tiga ADUN parti itu mengumumkan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.
ADUN Bukit Besi, Roslee Daud melakar sejarah menjadikan Pakatan Rakyat (PR) kini parti majoriti di Terengganu dengan 15 kerusi berbanding BN yang hanya tinggal 14 kerusi daripada keseluruhan 32 kerusi DUN.
Malam tadi, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang juga ADUN Kijal bersama ADUN Ajil, Ghazali Taib turut mengumumkan keluar Umno dan menjadi ADUN bebas.