PETALING JAYA: Bekas ADUN Ajil, Datuk Othman Daud yakin jika diadakan semula pilihanraya umum negeri, BN akan menang sekurang-kurangnya 25 kerusi. Katanya, BN kalah 15 kerusi pada PRU 13 kerana rakyat menolak calon-calon pilihan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Pada tahun 2013, BN menang 17 kerusi manakala PAS dan Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) menang 15 kerusi.
“Sebaliknya jika BN Terengganu meletakkan calon muda yang berpelajaran tinggi serta tidak ada skandal peribadi, lambat laun BN akan menang,” kata beliau kepada FMT.
Beliau yang juga bekas Exco Kerajaaan Negeri berharap BN dapat membubarkan Dewan Udangan Negeri (DUN) Terengganu secepat mungkin kerana kini PAS dan BN seri 14 kerusi manakala tiga kerusi diwakili Calon Bebas dan satu calon PKR.
Malam tadi selepas ADUN Seberang Takir, Datuk Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu, ADUN Kijal, Ahmad Said dan ADUN Ajil, Ghazali Daud telah mengumumkan keluar dari Umno. Pagi ini pula ADUN Bukit Besi, Roslee Daud meletakkan jawatan dari Umno.
Ini menyebabkan PAS dan BN mempunyai 14 kerusi manakala Bebas tiga kerusi dan PKR satu7 kerusi.
Othman yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri berkata beliau tidak menduga Ahmad Said tergamak keluar dari Umno selepas tidak dilantik sebagai menteri besar.
“Ini merupakan satu tamparan yang hebat kepada Umno supaya Umno lebih berhati-hati ketika memilih calon pada pilihan raya umum akan datang agar Umno tidak kena main lagi, “ katanya lagi.
Sehubungan dengan itu ahli-ahli Umno di Terengganu dapat bertenang kerana isu ini dijangka selesai tidak lama lagi.
“Sebenarnya PAS tidak kuat tetapi perpecahan dalam Umno yang menyebabkan PAS mendapat 15 kerusi kerana calon-calon pilihan Ahmad Said bukan calon “winnable candidate”.
Katanya, sebab itu jika BN meletakkan calon akar umbi yang berpelajaran tinggi dan berakhlak mulia tidak ada sebab BN dapat menang besar kali ini.
“Saya yakin tiga calon Bebas yang ada kepentingan diri itu akan ditolak rakyat ,” katanya lagi mengulas pengumuman keluar dari Umno tiga ADUN iaitu Ahmad Said, Ghazali Daud dan Roslee Daud.