MCA tidak sepatutnya membuat keputusan terburu-buru untuk mengkaji kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) jika Umno menyokong pelaksanaan hukum hudud, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong semalam adalah bersandarkan kepada pelbagai andaian sedangkan kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan.
"Jadi saya harap tiada kata dua daripada mana-mana pihak berdasarkan kepada andaian berkenaan usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud) yang hendak dibawa ke Parlimen itu.
"Bagi pihak Umno sendiri, kita sudah sebut pendirian kita bahawa kita terima hudud sebagai hukum Allah, tetapi kita sedang kaji soal pelaksanaan," katanya selepas menyampaikan Anugerah Cemerlang 2014 Yayasan Pendidikan Titiwangsa kepada 324 pelajar hari ini.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan turut meminta MCA supaya tidak membuat kenyataan dan keputusan yang boleh mengeruhkan hubungan antara parti komponen BN.
Mengulas permintaan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon yang ingin bertemu dengan Pemuda Umno untuk mendapatkan pejelasan berkaitan hudud, Khairy berkata, beliau meminta Exco Pergerakan Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya untuk bertemu Pemuda MCA hari ini.
"Kita mahu supaya semua parti komponen memahami antara satu sama lain dan ini (pelaksanaan hukum hudud) sebenarnya bukan dibawa oleh kerajaan BN sendiri, sebaliknya oleh PAS," katanya. – Bernama