PDRM


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak memainkan sebarang isu yang boleh mewujudkan ketegangan kaum dan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat di negara ini.
  
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata isu-isu berkaitan agama, adat resam, keturunan dan bangsa tidak boleh sewenang-wenangnya dibangkitkan untuk mendapatkan pengaruh di dalam apa jua platform.
  
"PDRM akan mengambil tindakan tegas di bawah undang-undang sedia ada khususnya Akta Hasutan 1948 terhadap sesiapa sahaja yang mengeluarkan sebarang kenyataan atau bertindak dalam apa jua cara yang dilihat berupaya memecah-belahkan hubungan antara kaum di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
  
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan polis menyiasat Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abd Rahman mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948, hari ini.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisoner Khairi Ahrasa ketika dihubungi Bernama berkata Abdullah Zaik disiasat kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dengan mendakwa kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu dulu satu bentuk 'pencerobohan'.

Semalam, Abdullah Zaik, dalam laman sesawang pertubuhan berkenaan di www.ismaweb.net menyifatkan kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu, yang dibawa ke negara ini oleh kolonial British adalah satu bentuk 'pencerobohan' serta menyifatkan mereka sebagai tidak sedar diri.
  
Kenyataan beliau sebagai reaksi tindak balas kepada pihak menentang cadangan pelaksanaan undang-undang Islam, hudud, daripada golongan bukan Islam. - Bernama