Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Peneroka bantah k'jaan S'gor ambil alih tanah

$
0
0
MALAYSIAKINI


Lebih 50 peneroka tanah kawasan Parit 14 dan Parit 15, Sungai Panjang berdekatan Sabak Bernam berkumpul secara aman di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam semalam bagi membantah tindakan kerajaan negeri mengambil alih tanah yang menjadi mata pencarian mereka sejak diusahakan nenek moyang mereka lebih 60 tahun lepas.
  
Mereka yang merupakan sebahagian daripada 336 peneroka terbabit menuntut kerajaan negeri menarik balik keputusan pengambilalihan tersebut, selain membenarkan mereka terus mengusahakan penanaman kelapa sawit, sawah padi dan koko di atas Tanah Hutan Simpan Sungai Karang itu.
  
ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi yang mengetuai himpunan itu berkata dengan tindakan itu, kerajaan negeri mengganggu mata pencarian peneroka terbabit yang menggunakan hasil penerokaan untuk menyara persekolahan anak-anak mereka selama ini.
  
"Tanah terbabit mula diteroka secara kecil-kecilan pada lewat tahun 40-an dan awal 60-an oleh generasi awal peneroka dan diteruskan oleh anak cucu mereka sehingga kini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum mengenai isu pengambilalihan tanah itu kepada Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Selangor, Mohamad Yasid Bidin.
  
Mengulas lanjut, Budiman berkata kerajaan negeri sebelum ini membuat keputusan mengambil alih Tanah Hutan Simpan Sungai Karang menerusi Perbadanan Menteri Besar sebagai ladang kelapa sawit yang diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.
  
Budiman berkata kerajaan negeri sepatutnya membuka ladang kelapa sawit di tanah baru dan bukannya mengambil alih tanah yang diteroka kecil-kecilan melibatkan keluasan kira-kira 0.6 hektar setiap peneroka.
  
"Justeru saya mendesak kerajaan negeri menarik balik keputusan itu dan memberikan hak milik kekal kepada peneroka terbabit atas usaha mereka semenjak sekian lama," katanya.
  
Sementara itu, seorang peneroka, Abdul Mutalib Jamaluddin, 53,  berkata beliau mengusahakan tanaman kelapa sawit di Tanah Hutan Simpan Sungai Karang sejak muda.
  
"Tindakan pengambilalihan ini akan menjejaskan pendapatan saya kerana tidak mempunyai tanah lain untuk diusahakan," katanya yang merupakan generasi peneroka ketiga tanah terbabit.   
- Bernama

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722