PRK Teluk Intan 
PRK Teluk Intan


IPOH - Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan merujuk kepada perdana menteri sebelum memutuskan calon BN yang sesuai untuk bertanding pada PRK Parlimen Teluk Intan tidak lama lagi.

Beliau berkata, pihaknya masih belum menetapkan calon bagi PRK itu, bagaimanapun akan membawa perkara tersebut untuk dibincangkan di peringkat tertinggi.

“Kita akan membuat persiapan seperti biasa, soal peluang kita akan bincang kemudian,” katanya pada sidang media di PerakFM, kelmarin.

Zambry berkata, pihaknya juga tidak menyangka akan ada PRK di Teluk Intan dan bersimpati dengan keluarga mendiang malah beliau mengenali mendiang sejak menjadi Adun Pasir Bedamar lagi.

Katanya, bagaimanapun BN perlu membuat persiapan rapi untuk meletakkan calon yang terbaik untuk bertanding pada PRK kelak.

Penyandang Ahli Parlimen Teluk Intan, Seah Leong Peng, 48, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya akibat kanser kira-kira 7.30 pagi, Khamis lalu.

Pada PRU13, Leong Peng menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas, Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.