Dr Amir Hussin BaharuddinDr Amir Hussin Baharuddin - Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO


KUALA LUMPUR - Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015 dapat menghalang peniaga daripada mengelak membayar cukai atau memindahkan cukai itu kepada pembeli.

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, melalui GST, pengilang, pemborong atau peruncit boleh dikatakan tidak ada ruang untuk menipu atau cuba memindahkan cukai tersebut kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan sesuka hati.

“Ini kerana setiap peniagaan yang merekodkan keuntungan RM500,000 dan ke atas hasil jualan setahun wajib mendaftar, dan mereka perlu mengisytiharkan keuntungan dan jualan diperoleh syarikat.

“Malahan mereka turut menikmati rebat dan pulangan ke atas cukai yang dikenakan terhadap pengilang, pemborong dan peruncit. Jadi tiada sebab mereka boleh menaikkan harga barangan," katanya.

Menurut beliau, jika pengguna atau pembeli merasakan harga yang dikenakan tidak munasabah atau terlalu tinggi, mereka perlu membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk diambil tindakan ke atas peniaga tersebut.

Namun begitu kata Amir Hussin, sekiranya pelaksanaan GST boleh memudaratkan rakyat, cukai tersebut boleh dimansuhkan.

“Jika (kadar cukai) enam peratus tidak sesuai, ia juga boleh dikurangkan mungkin kepada tiga peratus, sebagai contoh,” katanya.

Beliau baru-baru ini bersama Jabatan Kastam memberi penerangan kepada kira-kira 300 orang mengenai GST dan menurut beliau, ternyata penjelasan itu diterima baik.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan. Tidak ada sebab. Pelaksanaan GST tidak akan mengetepikan kepentingan rakyat. Bahkan ia lebih baik berbanding cukai sedia ada,” katanya.

Dengar penjelasan dari sumber betul

Beliau berkata, rakyat harus mendengar penjelasan mengenai GST dari sumber  betul untuk faham apa itu GST, bagaimana ia dilaksanakan dan jenis perniagaan yang terlibat secara langsung dengan sistem tersebut.Menurutnya, GST bukanlah sistem percukaian yang membebankan rakyat.

Amir Hussin berkata, GST wajar dilaksanakan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada, selepas ia mula-mula sekali diusul pada 1989 dan tertangguh sehingga 2013.

"Cukai jualan dan perkhidmatan dikenakan sekarang, antara enam hingga 15 peratus. Sistem cukai inilah ingin dihapuskan dan digantikan dengan satu sistem sahaja iaitu GST atau cukai tunggal.

"Ia sekali gus membolehkan kerajaan menangani kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada. Sistem (GST) ini lebih mudah, telus, mesra perniagaan dan cekap," katanya.

Menurut Amir Hussin, dengan pelaksanaan GST, harga beberapa barangan akan jadi lebih murah berbanding sekarang.

"Selain tidak dikenakan ke atas bahan makanan asas seperti beras, gula dan tepung serta bekalan air paip, perkhidmatan seperti pengangkutan, tol lebuh raya, pelajaran serta perkhidmatan kesihatan turut dikecualikan daripada GST,” katanya.

Beliau berkata, GST juga tidak dikenakan ke atas perkhidmatan disediakan kerajaan dan 200 unit pertama bekalan elektrik sebulan untuk pelanggan domestik.

Selain itu, jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih turut dikecualikan daripada GST.

Penjelasan GST belum mencukupi

Sementara itu, Pengarah Eksekutif PricewaterhouseCoopers Taxation Services, R S Raja Kumaran berkata, promosi dan kempen kesedaran bagi mendidik masyarakat mengenai GST oleh kerajaan harus ditingkatkan.

“Apa dilakukan sekarang (iklan dan sebagainya) tidak cukup beri penjelasan sebenar kepada masyarakat dan ia perlu di tambah baik.

“Kerajaan harus membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam memastikan golongan ini tidak terkesan dengan pelaksanaan GST. (Tetapi) jika GST memberi impak sekali pun ia mungkin dalam peratusan yang terlalu kecil,” katanya.

Menurut Kumaran, GST harus dilaksanakan bagi memastikan sistem cukai lebih efektif.

“Meskipun GST dikatakan bakal menaikkan harga rumah, kerajaan menerusi jalan penyelesaian telah memperkenalkan pelbagai projek rumah mampu milik seperti Perumahan Rakyat 1 Malaysia bagi memastikan golongan berpendapatan rendah juga mampu memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Kumaran tidak menafikan pengenalan GST akan memberi kesan terhadap inflasi namun beliau mencadangkan kerajaan membantu golongan kurang berkemampuan agar tidak terkena tempias akibat pelaksanaan cukai tersebut.