KOTA KINABALU - Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) akan menganjurkan jelajah 'Katakan Tidak Kepada Hudud' di semua 27 bahagian tidak lama lagi untuk memperjelaskan rancangan Pas untuk membentangkan dua rang undang-undang persendirian di Parlimen.
Ketua penerangan Upko, Albert Bingkasan berkata, jelajah itu untuk mengelakkan salah tangggapan di kalangan ahlinya di seluruh negara berhubung isu itu.
Beliau bagaimanapun menyambut baik rancangan Barisan Nasional negeri untuk mengadakan 'perbincangan menyeluruh' tentang isu itu.
"Ini isu yang rumit. Kami yakin bahawa jelajah ini akan membolehkan anggota kami mendapat kefahaman yang jelas mengenai isu itu dan pada masa yang sama memacu kami dalam proses kematangan bagi membangunkan negara," kata Bingkasan dalam kenyataan di sini hari ini.
Bingkasan berkata, Upko membantah pelaksanaan undang-undang hudud di negara ini kerana ia bercanggah dengan semangat dan hasrat Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara sekular dan ia adalah hakikat yang diperjuangkan oleh Upko dan pendirian ini sekali lagi disuarakan bulan lepas oleh pemangku presiden Upko, Datuk Madius Tangau.
Pada Ahad, setiausaha BN Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, parti gabungan itu akan menyatakan pendirian mereka berkaitan rang undang-undang Hudud hanya selepas kajian mendalam dijalankan.
Bingkasan berkata, jelajah itu yang akan dikendalikan Biro Dokumentasi dan Penerangan Upko antara lain bertujuan memberi penjelasan kepada anggota parti tentang hudud dan Perlembagaan Persekutuan secara keseluruhan. - Bernama