Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Othman berterima kasih kepada PAS kerana mengalu-alukan penyertaannya ke dalam parti berasaskan Islam itu.
Respon itu diberikannya selepas penulis veteran PAS, Subky Latif mengatakan parti itu adalah yang paling sesuai untuk Hamidah untuk merasai 'kemanisan berpolitik sebenar'.
"Saya ucapkan terima kasih atas pelawaan PAS tetapi buat masa ini saya hendak berehat dahulu," katanya kepada Antarapos.
Hamidah juga ditanya apakah beliau mahu kembali aktif di dalam politik pada masa akan datang.
"Tiada setakat ini. Untuk masa akan datang, wallahualam," ujar Hamidah ringkas.
Menulis di laman rasmi PAS, Harakah Daily, semalam, Subky berkata PAS terdiri daripada mereka yang pernah berjuang di dalam Umno dan itulah kunci kepada kekuatan PAS pada hari ini.
Malah katanya selepas golongan itu merasai 'kemanisan' perjuangan PAS, mereka tidak lagi mahu menoleh ke belakang.
Pelawaan itu dibuat ke atas Hamidah selepas dirinya mengumumkan keluar dari PPBM kerana kecewa dengan kepimpinan parti itu.
Sebelum menyertai PPBM, Hamidah merupakan Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng.
Hamidah pada pertengahan September lalu berkeputusan meninggalkan PPBM selepas mendakwa difitnah oleh Ketua Armadanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berikutan kes ahli akar umbi Perak keluar parti beramai-ramai baru-baru ini.