Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Tiada organisasi ultra-konservatif Islam di Malaysia, kata ahli akademik

$
0
0

 
Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, mungkin ada sesetengah individu daripada kumpulan tertentu yang bersikap ekstremis.


Prof-Ahmad-Fauzi-Abdul-Hamid

PETALING JAYA: Seorang saintis politik mempertikaikan tanggapan sesetengah pihak Malaysia mempunyai kumpulan Islam ultra-konservatif.

Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia memberitahu FMT, hasil kajiannya mendapati kumpulan yang mempunyai kepercayaan dan prinsip disifatkan ultra-konservatif tidak wujud di negara ini, tetapi sesetengah individu daripada kumpulan tertentu mungkin sesuai dilabelkan sedemikian.

Ahli akademik itu melakukan kajian meluas dan menulis mengenai kumpulan Islam dan sekolah berlainan di Malaysia.

Beliau mengulas cadangan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Maszlee Malik yang mendakwa terdapat organisasi Islam berpandangan ultra-konservatif, berikutan kontroversi membabitkan penceramah, Zamihan Mat Zin yang mengetuai Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja).

Maszlee memberitahu FMT, ada kumpulan ultra-konservatif lain di negara ini dan Aswaja hanya satu daripadanya.

Tetapi, Fauzi berkata, itu mungkin insiden terpencil dan mengingatkan semua pihak berwaspada terhadap tindakan berlebihan.

“Orang seperti Zamihan boleh mengambil pendirian melampau dalam sesetengah perkara, tetapi mungkin bersederhana dalam hal lain.

“Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai contoh. Beliau secara umumnya dilihat sebagai orang sederhana, tetapi pernah membuat beberapa kenyataan dan menulis sebuah puisi yang menimbulkan kebencian sebahagian besar kaum India di Malaysia, termasuk Hindraf.”

Fauzi yang tidak mempertahankan Zamihan dan secara peribadi tidak bersetuju dengan pendiriannya mengenai isu dobi “mesra Muslim”, mempersoalkan adakah adil melabelkan Zamihan ekstremis hanya berdasarkan beberapa video ceramahnya di YouTube.

“Saya rasa apa yang dikatakannya mengenai Sultan Johor dan kritikannya terhadap orang bukan Islam, terutama orang Cina, lebih kepada naik angin secara tiba-tiba.

“Adakah wajar melabelkan seseorang ekstremis berdasarkan pendiriannya mengenai satu isu?

“Kita tidak sepatutnya melarang orang bercakap atau berkongsi pendapat mereka kerana kita semua tahu, kita mungkin boleh belajar daripada pendirian mereka mengenai hal lain.”

Zamihan yang merupakan pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diselar Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai “tin kosong” selepas mempertahankan pemilik dobi “mesra Muslim” di Muar.

Ia disusuli arahan Sultan Selangor supaya Majlis Agama Islam Selangor menarik balik tauliah Zamihan.

Maszlee berkata, Fauzi mungkin tidak sedar Zamihan “dan individu sepertinya” membuat banyak kenyataan yang menunjukkan kecenderungan ekstremis mereka.

“Fauzi mungkin terlepas banyak ceramah Zamihan di YouTube,” katanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722