Othman Aziz


ALOR SETAR - Penggunaan bahan kumbahan manusia terawat oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) adalah langkah bijak kerana kandungan nutrien tinggi dan menyuburkan pokok.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Othman Aziz berkata, penggunaannya tidak perlu diragui kerana ia berfungsi sebagai baja semula jadi.

Beliau berkata, ia memberi impak bagus berbanding penggunaan baja kimia untuk mengelakkan pembaziran air, terutama bagi menyiram pokok hiasan.

Bagaimanapun, ia sukar digunakan untuk pengairan sawah padi yang memerlukan bekalan air banyak.

“Mada belum ada perancangan untuk menggunakan air kumbahan yang dirawat kerana keadaan tidak terdesak,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, langkah MBAS memang sesuai untuk suburkan tanaman dan sejajar dengan saranan kerajaan agar menggunakan teknologi hijau yang lebih praktikal.

“Banyak faedah yang boleh diperoleh dari teknologi hijau termasuk menjimatkan kos,” katanya.