Shah Jaszle


PELAKON, Shah Jaszle sekali lagi mencetus kontroversi dengan kisah cintanya yang tidak berkesudahan apabila dikatakan memutuskan hubungan dengan tunangnya, Redzwani Puteri dan menjalin hubungan dengan wanita lain.

Shah mempamerkan kemesraan bersama wanita yang dipercayai kekasih barunya yang dikenali sebagai Hanis Husna dalam gambar yang dimuatnaik ke laman Instagramnya.

Jelas, tindakan Shah itu mendapat kritikan para peminatnya yang majoriti tidak bersetuju dengan tindakannya itu malah mereka melahirkan simpati kepada Redzwani yang merupakan seorang doktor di sebuah hospital.

Menerusi gambar di laman Instagram Hanis pula, dia memberitahu kepada rakannya bahawa Shah telah putus tunang dengan Redzwani.

Manakala Shah pula mengesahkan bahawa Hanis merupakan kekasihnya serta menafikan mempermainkan Hanis.

“...Shah dah putus dengan bekas tunang dia,” tulis Hanis.

“...dia kekasih kita la sekarang...mana pernah main-main,” tulisnya diikuti emotikon senyum.

Sementara itu, menerusi laman mikro Twitter milik Redzwani, dia menulis, “saya tak ada apa nak cakap tapi Ya ALLAH, Syukur Alhamdulillah. Tolong jangan kesian pada saya. Mungkin mereka (Shah dan Hanis) lebih memerlukan.”

Dalam perkembangan berkaitan, Shah menulis kepada Redzwani yang menyebut bahawa hubungan mereka telah berakhir dengan cara baik dan mereka masih berkawan.

“Kita putus dengan cara baik sebelum ini dan saya tak nak orang lain cakap buruk fasal awak dan saya. Sebab kita berdua masih berkawan,” tulisnya.

Sebelum ini, Shah berkata hubungan dengan Redzwani pulih ketika Aidilfitri tahun lalu dan meminta agar didoakan berkahwin tahun ini.

Shah Jaszle mengaku tidak bersalah di mahkamah rendah syariah terhadap tuduhan khalwat dengan seorang bekas pekerja bank, Farah Nurizzati, Mei lalu.