Tiada siapa peduli nasib kami 
Pangsapuri Kristal Selayang Mutiara dipenuhi semak-samun, didakwa tiada pembelaan.


SELAYANG - Pembeli Pangsapuri Kristal Selayang Mutiara kecewa rumah yang dinanti masih belum disiapkan, lebih mengecewakan masalah itu tidak mendapat perhatian pihak berwajib.

Meskipun masalah itu pernah dihebahkan dalam media November lalu, namun tiada pihak yang tampil menghulurkan bantuan. Kesannya, pembeli kian terhimpit dan tidak tahu ke mana lagi hendak mengadu nasib.

Harapan untuk memiliki rumah semakin pudar selepas projek terbengkalai sejak 2009 itu masih tidak menunjukkan perubahan, kata salah seorang pembeli, Zamri Razali, 38.

“Ingatkan selepas siar di media adalah campur tangan kerajaan negeri atau pihak berkaitan untuk selesaikan masalah kami. Kami benar-benar hampa.

“Betul-betul dah putus asa...suara kami tidak didengar. Nak beli rumah lain tak mampu. Saya hanya mampu tanggung hutan bank RM370 sebulan saja,” katanya ketika ditanya tentang perkembangan projek perumahan bertingkat yang mula dibina sejak 2006 itu.

Seorang lagi pembeli, Nitya Sri, 34, berkata sebuah syarikat ada tampil mendakwa dilantik oleh pihak bank untuk meneruskan projek itu namun selepas dua bulan pertemuan dibuat tiada sebarang perkembangan dilaporkan berhubungan sambungan kerja yang dimaksudkan.

“Masa itu hampir 100 orang pembeli bertemu dengan wakil syarikat itu di sebuah dewan di Selayang selepas keluar berita.

“Katanya, mereka perlu dapatkan sekurang-kurangnya 70 peratus persetujuan pembeli sebelum mulakan projek. Mereka juga ada iklankan di akhbar tempatan untuk kumpulkan pembeli,” katanya.

Bagaimanapun selepas seorang pembeli menyemak dengan Jabatan Perumahan Negara dan dimaklumkan tidak menerima sebarang maklumat berkenaan lantikan kontraktor baru itu, perkembangan mengenai pengambilalihan projek itu berakhir begitu sahaja.

“Saya sanggup kalau pemaju naikkan kos kepada 20 peratus asalkan rumah itu siap. Tak sanggup nak tanggung hutang bank..nak bayar sewa rumah lagi,” katanya.

November lalu, Sinar Harian pernah melaporkan desakan pembeli Pangsapuri Kristal yang berharap campur tangan kerajaan negeri menyelesaikan projek terbengkalai melibatkan enam blok dan 500 unit.

Unit telah siap 70 peratus sebelum terbengkalai dan kini dijadikan tempat tinggal warga asing yang mendakwa bekas kontraktor tidak menerima gaji daripada pemaju terdahulu.