Laporan KetuaLaporan Ketua Audit Negara Tahun 2013


SHAH ALAM - Panel Penilaian Operasi (PPO) menyatakan persetujuan terhadap kenyataan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang akan memanggil sekurang-kurangnya lima kementerian yang disifatkan sebagai kementerian yang melakukan perbelanjaan berlebihan.

Menurut Pengerusi Panel Penilaian Operasi, Dr Hadenan Abdul Jalil, kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed selari dengan bidang kuasa PAC yang sepatutnya memeriksa pengurusan kewangan oleh badan-badan pentadbiran.

"Pihak kami berpandangan bahawa pada hari laporan itu dibentangkan di Dewan Rakyat, langkah awal PAC mengumumkan bakal tindakannya juga menunjukkan jawatankuasa itu mempunyai peranan penting dalam meneliti dan mengkaji isu-isu yang dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara Siri 1/2013, dan mencadangkan tindakan sewajarnya terlebih dahulu.

"Ianya sudah menjadi tugas dan tanggungjawab PAC dalam memeriksa dan mendengar penjelasan pihak yang dibangkitkan dalam LKAN dan jika mana-mana jabatan kerajaan atau kementerian menemui kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Arahan Perbendaharaan, maka tindakan segera perlulah diambil dengan serta-merta bagi memastikan kesalahan yang sama tidak berulang," katanya, semalam.

Walau bagaimanapun, menurutnya, PAC hendaklah membuat penelitian ke atas isu-isu dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara dan jika benar ada asas wujudnya unsur rasuah, pihaknya akan memastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan sewajarnya ke atas kementerian-kementerian tersebut.