Abdul Khalid Ibrahim


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak gentar dengan tindakan tiga pemimpin PKR yang membentuk pasukan dalam berkempen menjelang Pemilihan PKR 2014, bulan depan.

Menurutnya, PKR bersifat terbuka dalam sebarang bentuk kempen berhemah oleh mana-mana calon.

"Pemilihan parti PKR adalah dari akar umbi jadi bermakna tiap-tiap ahli boleh memilih bukan melalui perwakilan.

"Oleh sebab itulah kita galakkan perkara ini berlaku. Saya tidak ada tekanan, ini satu pembaharuan yang menggalakkan saya untuk menyertai parti reformasi," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Annex, semalam.

Abdul Khalid bersama lima calon lain bakal bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu tiga calon Pemilihan PKR 2014, Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution yang bertanding Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar  dan Rafizi Ramli yang masing-masing bertanding bagi jawatan Naib Presiden bergabung bagi membentuk sebuah pasukan dalam menghadapi kempen pemilihan parti itu.

Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan tiada keperluan untuk menjalankan strategi debat seperti yang dicadangkan.

"Debat ini... bukan caranya di mana ahli-ahli kita bukan duduk di Kuala Lumpur sahaja.

"Ini bukan perkara besar, hanya untuk PKR dan ahli-ahlinya," katanya.