SHAH ALAM - Pembangkang Selangor mencabar Adun Kajang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membuktikan sumbangan Penasihat Ekonomi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam peningkatan ekonomi Selangor.
Ketua pembangkang, Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata, Anwar ke luar negara bukan untuk menarik pelaburan asing sebaliknya memburukkan negara ini.
"Buktikan. Buktikan bahawa Penasihat Kewangan Selangor itu telah menjana ekonomi... memberi hasil kepada Selangor... Tak ada.
"Kita tahu ketua penasihat ekonomi ini ke luar negara tapi bukan untuk buat pelaburan Selangor. Dia keluar negara untuk kutuk kerajaan . Tak habis-habis lagi," katanya pada media ketika ditemui di lobi Dewan Annexe, hari ini.
Beliau menyentuh soal pergolakan dalam negeri itu apabila Anwar dikatakan 'berhasrat' untuk menjadi menteri besar.
"Yang lagi sedih, penasihat ini menyebabkan kesusahan kepada Selangor. Lihat apa yang berlaku pergolakan dalam negeri, beliau ambil kesempatan.
"Buat Langkah Kajang nak jadi menteri besar. Itu bukan nak menolong Selangor. Itu nak menjahanamkan Selangor," katanya yang juga Adun Sungai Burong.
Sementara Adun Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz pula berkata Anwar gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Penasihat Ekonomi.
"Kalau lihat apa yang Adun Kajang (Wan Azizah) cakap, kalau benar, banyak perkara harus diambil kira... dikaji. Kerana kalau lihat apa yg berlaku sejak lima tahun lalu, banyak kepincangan.
"Saya boleh beri contoh, keputusan-keputusan yang diambil. Jangan semata-mata memikirkan keuntungan untuk negeri sahaja. Contohnya, kenaikan lesen perniagaan.
"Adakah beliau tidak mengetahui k adar yuran lesen perniagaan naik begitu ketara? Selaku penasihat adakah perkara ini betul?," soalnya.
Tambahnya, " kalau dah gagal, saya rasa tukarlah orang lain. Pada saya, Anwar gagal menasihatkan hal ekonomi dan hal kebajikan serta kepentingan rakyat."
Adun Kota Damansara, Halimaton Saadiah Borhan turut senada dan menyebut tidak nampak sebarang sumbangan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi di negeri ini.
"Saya tak nampak sumbangan beliau kepada Selangor . Atas nama saja tapi dalam perlakuannya tidak menunjukkan beliau penasihat yang baik kepada Selangor. Itu yang saya nampak," katanya.
Semalam, Wan Azizah membangkitkan sumbangan Anwar dalam peningkatan ekonomi Selangor juga Malaysia.
Katanya, kadar peningkatan ekonomi negeri Selangor yang melebihi 6 peratus secara tak langsung telah menyumbang kepada peningkatan ekonomi Malaysia.
"Inilah sumbangan Penasihat Ekonomi (Anwar). Bahkan sepanjang tahun 1994 hingga 1998 sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan, belanjawan Malaysia berlebihan berbanding sekarang...defisit sejak dia masuk penjara," katanya ketika berhujah pada sidang Dun.