Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Khazanah sedia bantu kerajaan dalam usaha mencari MH370

$
0
0
THE MALAYSIAN INSIDER

 
Khazanah Nasional Berhad, pemegang saham terbesar Malaysia Airlines (MAS) sentiasa bekerjasama dengan kerajaan untuk membantu sedaya mungkin berhubung tragedi kehilangan pesawat MAS Penerbangan MH370.

Pengarah Urusannya Tan Sri Azman Mokhtar berkata syarikat berkaitan kerajaan itu berasa bertanggungjawab terhadap insiden itu dan akan mengambil segala langkah yang perlu untuk membantu.

"Daripada hari pertama (8 Mac) kami sudah bekerjasama dengan MAS dan kerajaan. Apabila musibah menimpa kita semua, antara usaha yang kita harus buat adalah bekerja bersama dan terus mara ke hadapan.

"Kita muhasabah diri kita sendiri, lihat mana-mana kelemahan diri kita dan berani ke hadapan, dan saya pun mengambil iktibar dan pengajaran daripada semua (yang berlaku)," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Laporan Tanggungjawab Korporat 2013 di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, Khazanah turut merakam rasa hormat dan perasaan sedih berhubung kehilangan pesawat itu.

Khazanah memegang sebanyak 69% saham di dalam MAS dan pelaburan syarikat itu tertumpu kepada industri kewangan, media dan komunikasi, utiliti, teknologi maklumat dan pengangkutan.

Azman bagaimanapun enggan mengulas usaha yang dilakukan syarikat itu berhubung kehilangan pesawat itu.

Katanya pada tahun lepas, Khazanah membelanjakan RM80.4 juta bagi pelbagai program tanggungjawab korporat dan menjangka kos itu akan meningkat 20% pada tahun ini.

Pada 8 Mac, Penerbangan MH370 ke Beijing, yang berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam dengan membawa 239 orang, termasuk 12 anak kapal, hilang daripada pengesanan radar sejam kemudian.

Berdasarkan analisis terbaru data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK merumuskan bahawa Penerbangan MH370 terbang melalui koridor selatan dan bahawa kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722