Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang menyifatkan dirinya antara pemimpin paling “senior” dan terawal menyertai PKR yang berhasrat untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden parti itu.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Tian Chua itu berkata, meskipun dirinya antara pemimpin kanan dalam parti reformasi itu, namun untung nasibnya dalam merebut jawatan timbalan presiden PKR diserahkan segalanya kepada ahli parti itu sendiri.
“Saya di antara pemimpin terawal dalam jawatankuasa dan majlis pimpinan tertinggi yang pertama sejak penubuhan di kalangan semua yang bertanding, Saya paling senior sekali.
“Kita berilah peluang akar umbi untuk buat keputusan,” katanya kepada The Malaysian Insider apabila ditemui di lobi Parlimen semalam.
Jawatan timbalan presiden PKR kali ini menyaksikan pertandingan enam penjuru selepas penyandangnya Mohamed Azmin Ali dicabar Chua, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk K Ramachandran dan Murali Subramaniam.
Bagaimanapun, Chua turut mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden bersama 15 calon lain seperti Nurul Izzah Anwar, Baru Bian, Fuziah Salleh, Elizabeth Wong, Rafizi Ramli, Lee Chin Cheh dan Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Chua menyifatkan pertandingan banyak penjuru dalam pemilihan PKR kali ini memperlihatkan parti yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu mengamalkan demokrasi tulen.
“Ramai di kalangan kami menawarkan diri dan ini mencerminkan kesuburan demokrasi dalam parti,” katanya yang menyebut satu sidang media akan diadakan hari ini bagi memperincikan keputusannya untuk bertanding.
Penganalisis politik dari Ilham Center, Mohamad Hisomuddin Bakar (gambar) tidak melihat Chua akan menerima undi penuh atas dasar prestasi dalam parti walaupun dilihat mempunyai pengaruh di kalangan semua ahli dan bukan daripada kalangan kaum Cina sahaja.
Manakala, sumber dalaman PKR memberitahu The Malaysian Insider, kemungkinan Chua akan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden kerana mengambil jalan selamat dengan turut mencalonkan diri bagi jawatan naib presiden.
"Chua hanya hendak uji pasaran, tunggu sahajalah, beliau akan tarik diri nanti," menurut sumber itu.
Selepas hampir 15 tahun bertapak di persada politik arus perdana sejak ditubuhkan pada 1999, pemilihan PKR kali ini penting dalam menentukan arah tuju parti yang bermula selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan pada 1998.
Timbalan presiden juga bakal memikul tugas besar sebagai pemangku presiden sekiranya Anwar gagal dalam rayuannya ke atas sabitan hukuman yang dijatuhkan baru-baru ini.
"Dalam perlembagaan baru PKR yang digubal di Shah Alam lalu, sekiranya Anwar didapati bersalah peringkat hukuman akhir maka secara automatik timbalan presiden itu akan naik ke presiden.
"Jawatan timbalan presiden ini adalah juga pemangku presiden, serta bakal mengambil teraju PKR pada masa depan," kata Hisomuddin.
Penamaan calon bagi pemilihan PKR di peringkat pusat bermula Sabtu lalu.
Bagi peringkat cawangan pula, ia akan diadakan mengikut zon bermula 4 hingga 13 April ini.
Pemilihan PKR akan bermula 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini.