KUALA PILAH – Insiden kehilangan pesawat MAS MH370 telah menjejaskan kehadiran pelancong khususnya dari negara China.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau tidak menafikan hakikat tersebut selepas insiden kehilangan pesawat MAS MH370 pada 8 Mac lalu.
“Kalau saya kata tidak terjejas, itu tipu tapi ia memang terjejas.
“Kita sudah pasti keluarga mangsa dari China mengecam negara kita termasuk dari kalangan artis mereka yang menunjukkan gambaran sama.
“Kita tidak perlu marah ataupun melatah kerana kita memahami situasi mereka yang kehilangan orang tersayang dalam insiden tersebut. Kita perlu terima hakikat itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan kerjanya ke Negeri Sembilan di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, dekat sini, semalam.
Sementara itu, atas faktor rasa simpati dan memahami situasi keluarga mangsa dari China, kementeriannya menangguhkan promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 di China.
“Buat seketika ini sehinggalah kita dapat tahu di mana MH370...sehingga itu kementerian mengambil keputusan tidak mengadakan apa-apa ‘road show’ terutama di China.
“Walaupun kita menangguhkan ‘road show’ itu, namun ia tidak menjejaskan bilangan pelancong dari negara lain seperti Indonesia dan Singapura.
“Kita memperkuatkan promosi di negara-negara lain sebagai satu langkah mengatasi bilangan pelancong dari negara China. Pelancong dari Singapura adalah jumlah paling besar berkunjung ke Malaysia diikuti negara Indonesia dan tempat ketiga dari China,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa sedih dan dukacita di atas apa yang berlaku.
“Kita pun bersedih di atas kehilangan ahli keluarga mereka. Meskipun rakyat China marah kepada negara kita, kita perlu terima perkara ini dan tidak anggap ianya satu penghinaan dari China.
“Malaysia faham, mereka tiada tempat untuk meluahkan perasaan sedih dan rasa tidak puas hati mereka,” katanya.