Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika berceramah di Taman Damai Mewah, di sini, semalam.
“Krisis ini membuktikan Najib dan menteri tidak tahu jaga negara. Kalau PM takut (tangani krisis), kalau menteri tak tahu urus negara dengan baik, Anda perlu bagi dia mesej (dengan) kalahkan MCA dan BN,” katanya.
“Kes ini isu tadbir urus. Ketika minggu (pertama), MH370 hilang, Najib pun hilang,” katanya diiringi sorakan hadirin.
Beliau mengkritik Datuk Seri Najib Razak yang gagal menunjukkan kepemimpian selaku Perdana Menteri, terutama ketika berhadapan dengan media antarabangsa.
“Lepas itu beliau datang (ke sidang media), bercakap, (terus) balik. Tak ada soalan (yang dilayan). Mana ada negara apabila ada krisis nasional, PM kata tiada soalan. Anda ingat (media antarabangsa seperti) TV3 dan Utusan?” katanya.
Walaupun pesawat MH370 didapati hilang pada 8 Mac, Najib hanya muncul memberi sidang media pertamanya pada 15 Mac lalu.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga membidas Kementerian Pengangkutan yang hanya mengadakan taklimat khas berhubung isu itu hanya kepada Ahli Parlimen BN, 18 Mac lalu.
Beliau membandingkannya dengan kerajaan Australia, yang mengadakan pembentangan di Parlimen selepas menjumpai objek disyaki serpihan pesawat di perairan berdekatan negara itu.
“Tengok Perdana Menteri Australia (Tony Abbot), dapat maklumat terus mengenainya di Parlimen, dan orang boleh tanya. Di Malaysia, ada maklumat, (Ahli Parlimen BN) bincang di ‘dapur’, dan kita tidak tahu apa ceritanya.
“Padahal kejadian di Malaysia, pesawat (milik) Malaysia. (Tetapi kerajaan sekejap kata) tahu, kemudian tidak tahu, kemudian pura-pura tidak tahu. Ini masalahnya,” katanya lagi.
Sebelum ini, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberikan alasan taklimat hanya diberi kepada Ahli Parlimen BN kononnya kerana Pakatan Rakyat ‘tidak memintanya’. – Roketkini.com