Oleh Lim Kit Siang
Surat Terbuka kepada pengundi-pengundi pilihanraya kecil Kajang dari Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, Jumaat, 21 Mac 2014:
Saya telah mengungkapkan dua harapan terhadap pilihanraya kecil Kajang hari Ahad ini.
Pertama, para pengundi Kajang akan mencipta keajaiban dengan menyebabkan calon Barisan Nasional hilang wang pertaruhan pada hari mengundi 23 Mac nanti.
Sasaran ini hampir mustahil dan kemungkinan tidak akan dicapai pada hari Ahad nanti, kerana ia bermakna calon Pakatan Rakyat/PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bukan saja perlu memenangi pilihanraya kecil kali ini dengan perbezaan undi lebih besar dari yang diperolehi oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri PKR Lee Chin Chen dalam pilihanraya umum ke-13 yang lalu, iaitu dengan beza undi 6,824, malah beliau juga perlu mencatatkan perbezaan sebanyak 24,000 dalam pilihanraya kecil Kajang.
Untuk membuatkan calon BN hilang undi pada pilihanraya kecil Ahad nanti, satu per lapan dari undi yang dibuang perlu dinafikan dari BN. Sekiranya 80% dari 40,000 pengundi Kajang keluar mengundi, bererti kita mesti menafikan BN dari mendapat lebih dari satu per lapan undi, atau memastikan BN tidak mendapat lebih dari 4,000 undi – bererti 28,000 undi kepada Wan Azizah dan hanya 4,000 undi kepada BN dari 32,000 undi keseluruhan.
Dalam PRU13 bulan Mei lalu, calon PKR memenangi 80 peratus undi Cina, 60% undi India, dan 35% undi Melayu.
Apakah mungkin untuk Wan Azizah dan Pakatan Rakyat mengatasi pencapaian tahun lalu dengan meningkatkan sokongan kepada 90% undi Cina, 70% undi India dan 75% undi Melayu?
Saya diberitahu bahawa calon BN pasti akan mendapat “paling kurang” 8,000 undi – menunjukkan betapa sukar dan hampir mustahil untuk membuatkan calon BN hilang wang pertaruhan dalam pilihanraya kecil Kajang.
Saya akan menjadi orang paling terkejut di Malaysia jika harapan pertama ini menjadi hakikat dan keajaiban tercipta dalam pilihanraya kecil Kajang hari Ahad nanti.
Namun, tiada kesempatan lebih baik dalam sejarah pilihanraya Malaysia yang telah berlangsung selama lebih separuh kurun dari kesempatan yang kita miliki dalam pilihanraya kecil Kajang kali ini untuk menyebabkan calon BN hilang wang pertaruhan.
Percubaan untuk menyebabkan calon BN hilang wang pertaruhan ini tiada kena-mengena dengan Chew Mei Fun sebagai calon MCA/BN. Tujuan kita ialah untuk menghantar mesej yang jelas dan tegas kepada tiga peribadi di Malaysia – bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan Presiden Perkasa Ibrahim Ali, kerana ketiiga-tiga mereka perlu dipertanggungjawabkan atas pelbagai krisis yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia – terutamanya kewujudan jurang perkauman dan keagamaan paling luas dalam sejarah negara ini.
Harapan kedua saya ialah agar 40,000 pengundi pilihanraya kecil Kajang memainkan peranan sebagai Hakim Bao – yang digelar sebagai “Bao Langit Cerah” (包青天) – dengan menjadikan Kajang sebagai Kaifeng, ibu kota kuno Dinasti Song, tempat Hakim Bao meraih reputasi sebagai hakim yang bersih, tidak bertolak-ansur dengan ketidakadilan serta korupsi, bagi menggapai empat matlamat mulia, iaitu:
- Bagi menyelamatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari ketidakadilan hukuman lima tahun penjara yang akan menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh;
- Untuk menyelamatkan Pengerusi Kebangsaan Karpal Singh dari ketidakadilan hukuman denda RM4,000 atas kesalahan menghasut yang akan menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Bukit Gelugor sedangkan beliau seharusnya tidak didakwa, memandangkan beliau hanya mengemukakan pandangannya sebagai peguam terkemuka negara ini dan sebagai pemimpin politik yang kanan sewaktu kudeta politik di Perak berlaku pada Februari 2009;
- Untuk menyelamatkan badan kehakiman dan sistem keadilan di Malaysia dari terjerumus kembali ke “Zaman Gelap bagi Keadilan” seperti di zaman 80an dan 90an dulu, ketika keyakinan rakyat Malaysia sendiri serta warga dunia terhadap badan kehakiman di Malaysia terhakis; dan
- Sebagai patriot, untuk menyelamatkan Malaysia dari krisis enam serangkai yang sedang dihadapi oleh rakyat dan negara Malaysia sejak PRU13 Mei lalu – krisis pembinaan negara, ekonomi, pendidikan, keselamatan, rasuah dan sistem keadilan.
Saya tidak yakin harapan pertama yang saya sebutkan di atas akan tercapai pada hari Ahad nanti kerana ia hampir mustahil. Namun, saya percaya bahawa harapan kedua mampu dicapai, iaitu agar pengundi Kajang mewakili 30 juta pengundi di titik penting dalam sejarah negara ini untuk mencapai empat matlamat, iaitu menyelamatkan Anwar, menyelamatkan Karpal, menyelamatkan institusi kehakiman dan menyelamatkan negara.
Hanya tinggal dua hari lagi sebelum pilihanraya kecil Kajang. Di sini saya ingin menyampaikan seruan ketiga kepada para pengundi Kajang – bersatulah memberikan undi kepada Wan Azizah dalam pilihanraya kecil Ahad ini bagi pihak 30 juta rakyat Malaysia sebagai tanda keyakinan terhadap keupayaan beliau untuk menjadi Perdana Menteri pertama Malaysia.
Jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihanraya Umum ke-14 dengan memenangi majoriti kerusi Parlimen di Malaysia, negara ini akan mungkin akan mendapat Perdana Menteri wanita yang pertama, khususnya jika Anwar Ibrahim hilang kelayakan untuk bertanding merebut kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang akibat helah politik dan perundangan Umno/BN.
Di Asia, kita telah menyaksikan wanita diangkat sebagai Perdana Menteri, antaranya Indira Gandhi yang menjadi Perdana Menteri India sebanyak dua kali dan memerintah selama 16 tahun; Pratibha Patil yang menjadi Presiden India selama lima tahun dari tahun 2007; Sirimavo Bandaranaike yang tiga kali menjadi Perdana Menteri Sri Lanka dalam tempoh 17 tahun; Benazir Bhutto yang menjadi Perdana Menteri Pakistan sebanyak dua kali bagi tempoh lebih empat tahun; Bangladesh yang telah menghasilkan dua Perdana Menteri wanita, iaiatu Khaleda Zia yang dua kali menjadi Perdana Menteri selama 10 tahun dan Sheikh Hasina Wajed yang juga dua kali menjadi Perdana Menteri selama 10 tahun; selain Park Geun-hye yang kini adalah Presiden Korea Selatan.
Di kalangan negara ASEAN, Filipina telah memiliki dua Presiden wanita – Corazon Aquino selama enam tahun dan Gloria Macapagal Arroyo selama sembilan tahun; Megawati Sukarnoputri, Presiden Indonesia selama lebih tiga tahun; dan Yingluck Shinawatra, Perdana Menteri Thailand sekarang, sejak tahun 2011.
Di luar rantau ini, kita melihat Perdana Menteri dan Presiden wanita seperti (1) Angela Markel, Canselor Jerman selama lebih lapan tahun; (2) Helle Thorning-Schmidt, Perdana Menteri Denmark; (3) Erna Solberg, Perdana Menteri Norway; (4) Alenka Bratusek, Perdana Menteri Slovenia; (5) Cristina Fernandez de Kirchner, Presiden Argentina selama lebih enam tahun; (6) Dilma Rousseff, Presiden Brazil sejak tahun 2011; (7) Atifete Jahjaga, President Kosovo sejak tahun 2011; (8) Laura Chinchilla, Presiden Costa Rica; (9) Ellen Johnson Sirleaf, Presiden Liberia selama lebih lapan tahun dan (9) Joyce Banda, Presiden Malawi sejak tahun 2012.
Wanita-wanita lain yang telah memainkan peranan sebagai ketua kerajaan atau negara termasuk Margaret Thatcher, Perdana Menteri United Kingdom selama lebih 11 tahun; Golda Meir, Perdana Menteri Israel selama lebih lima tahun; Gro Harlem Brundtland, Perdana Menteri Norway sebanyak tiga kali selama sembilan tahun; Mary Robinson, Presiden Iceland selama lebih enam tahun; Tansu Ciller, Perdana Menteri Turki selama lebih dua tahun; Jenny Shipley dan Helen Clarke yang menjadi Perdana Menteri New Zealand masing-masing selama dua dan sembilan tahun; Julia Gillard, Perdana Menteri Australia selama lebih tiga tahun; Michelle Bachelet, Presiden Chile selama lebih empat tahun; Dalia Grybauskaite, Presiden Lithuania selama lebihempat tahun dan Roza Otunbayeva, Presiden Kyrgyzstan.
Telah tiba masanya untuk Malaysia meletakkan namanya sebaris dengan negara-negara dunia yang lain dari segi kesetaraan gender, bermula dengan Perdana Menteri wanita pertama dalam masa terdekat – dan tiada calon lebih baik dari Datuk Seri Dr. Wan Azizah.
Inilah peranan bersejarah yang boleh dimainkan oleh para pengundi Kajang, iaitu dengan mengundi Wan Azizah sebagai langkah pertama ke arah Putrajaya dan untuk menjadi Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia. ROKETKINI.COM